fbpx

Cikgu Fadli belum dijatuhi hukuman- KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fadli

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyangkal dakwaan guru Mohd. Fadli Mohamed Salleh sudah dijatuhi hukuman oleh Lembaga Tatatertib.

Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, KPM mengambil maklum perkara yang dibangkitkan di media sosial berkaitan guru berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya ingin menjelaskan bahawa surat yang dihantar kepada guru tersebut bukanlah suatu surat yang membawa maksud bahawa hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib.

“Sebaliknya surat tersebut bertujuan memaklumkan guru berkenaan mengenai dakwaan yang telah diterima oleh Pihak Berkuasa Tatatertib serta keperluan untuk beliau mengemukakan representasi (penjelasan) bertulis,” katanya menerusi hantaran di Facebook KPM hari ini.

Katanya, pihak Lembaga Tatatertib dijadualkan bersidang esok bagi mendengar penjelasan berhubung aduan yang diterima terhadap guru tersebut.

Pkharuddin berkata, pihak Lembaga Tatatertib telah menerima surat representasi daripada guru tersebut iaitu Mohd. Fadli Mohamed Salleh pada 14 Oktober 2022.

Menurutnya, berhubung prosiding yang dikenakan terhadap Mohd Fadli, KPM menjelaskan semua pegawai awam yang berkhidmat dalam kerajaan tertakluk di bawah peraturan yang sudah ditetapkan.

“Prosiding tatatertib ini dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 yang diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat termasuk saya sendiri.

“Saya berharap penjelasan ini dapat memberi kefahaman kepada semua pihak,” katanya.

KPM hari ini tampil memberi penjelasan berhubung penularan surat dibuat Mohd. Fadli yang disalahtafsir kononnya sudah dijatuhi hukuman, tetapi sebaliknya ia adalah arahan untuk mengemukakan representasi berhubung aduan yang diterima terhadapnya.

Sebelum ini, Mohd. Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Susulan itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook malam tadi menyatakan hasrat untuk bertermu dengan Mohd. Fadli bagi mengetahui lebih lanjut perkara dibangkitkan guru berkenaan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI