PETALING JAYA – Matang, kehidupan stabil dan romantik antara ciri-ciri utama mengapa wanita bujang lebih selesa memilih suami orang sebagai pasangan hidup berbanding lelaki bujang.
Malah, ramai wanita bujang mengakui lelaki yang sudah berkahwin telah terbukti pandai menguruskan rumah tangga, bertanggungjawab dan boleh menjadi pelindung serta pembimbing kepada mereka.
Mendedahkan perkara itu, Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, situasi itu seolah-olah sudah menjadi trend apabila ramai wanita yang masih belum berkahwin lebih cenderung memilih suami orang.
“Saya sudah mengendalikan lebih 500 kes seumpama ini sejak tahun 2016 dan kira-kira 21 orang wanita bujang telah selamat berkahwin dengan pasangan mereka (suami orang).
“Lebih mengejutkan hampir 70 peratus daripada wanita itu terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, peguam, pensyarah yang lambat menemui jodoh dan memilih suami orang sebagai pasangan hidup,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hushim berkata, golongan profesional ini sukar mencari pasangan ‘sekufu’ atau sepadan dan disebabkan itu mereka rela memilih suami orang berbanding lelaki bujang.
Jelasnya, beliau pernah mengendalikan kes di mana seorang wanita bujang yang bekerja sebagai doktor memilih untuk berkahwin dengan suami orang yang merupakan pemandu di sebuah hospital.
“Kita dapat lihat masih ada wanita yang memilih suami orang bukan semata-mata kerana harta ataupun kerjaya lelaki itu, tetapi lebih kepada ciri-ciri yang ada pada individu berkenaan.
“Mereka (wanita bujang) memilih suami orang kerana merasakan lelaki itu lebih matang berbanding lelaki bujang yang masih belum ada pengalaman dalam berumah tangga.
“Selain itu, ada juga wanita mengaku tertarik pada suami orang kerana keikhlasan dalam menjaga pasangan dan anak-anak mereka, penyayang, serta pandai membimbing keluarga dalam ilmu agama,” ujarnya.

Jelas Hushim, ada juga wanita mengakui mereka bimbang untuk berkahwin dengan lelaki bujang kerana takut tersalah pilih pasangan.
“Wanita yang bekerjaya dan mempunyai pekerjaan hebat terlalu memilih kerana takut dipergunakan hanya kerana mereka berharta.
“Lebih menakutkan sekiranya lelaki bujang yang dipilih itu merupakan kaki pukul, malas bekerja dan lebih teruk lagi adalah penagih dadah.
“Sebab itulah mereka lebih selesa memilih suami orang kerana bagi mereka lelaki berkenaan sudah terbukti bebas daripada perangai negatif serta mampu menguruskan rumah tangga apabila berkahwin kelak,” ujarnya.
Justeru katanya, perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa ketika ini dan telah menjadi trend kebanyakan wanita bujang.
“Malah, ada yang sanggup mengiklankan diri di laman sosial semata-mata ingin mencari jodoh dalam kalangan suami orang,” ujarnya.














