EDARAN Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini telah memperkenalkan kit badan yang dibangunkan oleh jenama Tomei dari Jepun untuk model Almera turbo.
Berita baik untuk bakal pemilik Nissan Almera itu apabila bakal menerima pakej kit badan yang bernilai RM8,000 itu dengan hanya perlu menambah RM1,000 menerusi setiap pembelian model tersebut.
Sebelum ini, ETCM telah pun mengadakan kolaborasi bersama jenama talaan itu untuk beberapa model Nissan lain di Malaysia.
Penulis baru-baru telah membuat pandu uji Nissan Almera varian VLT yang telah pun dipasang dengan pakej berkenaan.
Sekadar makluman, pakej ini ditawarkan untuk semua varian Almera terdiri daripada VLT, VLP dan VL.
Pada Almera berwarna jingga (Monarch Orange) ini terdapat lima kit badan terdiri daripada skirting hadapan, skirting kiri dan kanan, skirting belakang dan spoiler.

Model pandu uji ini disertakan dengan spoiler GT Wing Tomei untuk mereka yang ingin membuatkan kereta Almera tampak garang. Namun, pilihan untuk opsyen ini adalah pada harga RM1,400 termasuk pemasangan.
Penulis difahamkan, GT Wing Tomei ini direka khas hanya untuk Almera turbo.
Kit badan ini hadir dengan dua tona warna yang kelihatan kemas dan memberikan Nissan Almera ini tampak lebih sporty.
Pakej ini turut disertakan dengan pedal sport dan perehat kaki yang sebenarnya memberikan lebih cengkaman pada kasut pemandu.
Selain itu, pelindung pemegang pintu, plat pemijak kaki, visor pintu dan tinted jenama ICE Cool turut diberikan sekali untuk varian VLT.
Semua yang ditawarkan dalam pakej ini turut hadir dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 kilometer jarak perjalanan atau mana-mana dahulu.

Model ini menggunakan enjin 1.0 liter turbo dengan transmisi X-Tronic CVT. Kombinasi tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 74PS dan tork tertinggi 152Nm.
ETCM juga mendakwa, ada pemilik kereta ini mencatatkan perjalanan sehingga 49.5 km untuk satu liter petrol.
Antara ciri keselamatan yang hadir bersama Almera ini adalah seperti sistem Intelligent Forward Collision Warning (IFCW) dan Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB).
Memang menarik apabila sistem IFCW itu mampu memantau jarak dan kelajuan kenderaan di antara lima kilometer sejam (km/j) hingga 80km/j dan akan memberikan amaran berbunyi pada paparan Advance Drive Assist Display ADAD bersaiz 7 inci kepada pemandu apabila kereta berada terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan atau jika wujud risiko perlanggaran di hadapan.
Sekiranya pemandu tidak mengambil sebarang tindakan, sistem IFEB atau Brek Kecemasan Hadapan Pintar akan mengeluarkan tanda berhenti kecemasan dan menekan brek secara automatik untuk membantu mengelak perlanggaran hadapan atau mengurangkan impaknya.

Kenderaan tidak akan bergerak selama dua saat sebelum brek dilepaskan semula.
Kesimpulannya, pakej ini didapati menawarkan harga yang menarik. Silap-silap, beli di kedai aksesori lagi mahal.
Pakej yang ditawarkan turut disertakan dengan waranti dan kualiti yang ditawarkan sudah pasti memuaskan hati.
Dari segi rekaan, penulis rasa Almera sedia ada sudah sedap mata memandang, apatah lagi dengan pakej kit badan ini, pasti membuatkannya lebih menarik dan ‘kacak’.
Walaupun enjin yang ditawarkan berkapasiti kecil berbanding pesaing terdekatnya, namun kuasa yang dihasilkan mencukupi.
Bagi penulis, enjin model ini kecil, cukai jalannya pula murah, tetapi apa yang penting selepas membelinya pemilik tidak terbeban.

REKAAN hadapan kenderaan ini yang tersendiri.














