fbpx

3,096 graduan USIM diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFUDIN (dua kiri) menunjukkan bahan promosi sempena sidang akhbar Majlis Konvokesyen USIM ke -20 di Nilai, Seremban hari ini.

SEREMBAN – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan meraikan seramai 3,096 orang graduannya dalam Majlis Konvokesyen USIM ke- 20 yang akan diadakan pada 13 hingga 15 Disember depan.

Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, ia merupakan majlis konvokesyen kali kedua yang diadakan secara fizikal selepas penularan pandemik Covid-19 bermula kira-kira tiga tahun lalu.

“Ia melibatkan 2,619 orang graduan Ijazah Sarjana Muda dan 400 orang graduan siswazah dan 77 siswazah tahun 2020 dan 2021.

“Majlis berlangsung bermula 13 hingga 15 Disember dan dilaksanakan dalam enam sesi bertempat di Dewan Tuanku Canselor, USIM Nilai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bersama Media – USIM di Nilai di sini hari ini.

Kata beliau ‘Graduan Cemerlang, USIM Disayang’ telah dipilih sebagai tema konvokesyen pada kali ini.

“Majlis Konvokesyen akan di mulakan dengan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen pada 13 Disember yang akan disempurnakan oleh Canselor USIM, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifudin berharap majlis yang dianjurkan pihaknya hari ini bagi meraikan pengamal media merupakan medium untuk mengeratkan hubungan di antara kedua belah pihak.

“Media merupakan rakan strategik yang penting dalam usaha untuk memposisikan USIM di mata masyarakat bagi mendukung hasrat dan agenda universiti.

“Perkembangan dan kemajuan universiti berdasarkan pencapaian dan kebolehan tinggi oleh pelajar serta kakitangan tidak akan tercapai sekiranya tidak disebarluas kepada seluruh lapisan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI