fbpx

Calon SPM lumpuh sebelah badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Zaki (dua dari kiri) bersama Wan Nurjannah Fakhira (kiri) ketika menerima kehadiran Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Seksyen 16 di Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM– Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Itu yang dilalui seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, yang kini terbaring di atas katil setelah terlibat dalam kemalangan motosikal pada 12 April lalu.

Wan Nurjannah Fakhira Wan Zaki, 17, yang tinggal di Taman Rashna di sini, mengalami kecederaan tulang belakang yang menyebabkannya lumpuh sebe­lah kiri badan dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Bapanya, Wan Zaki Wan Daud, 48, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM2,000 sebulan berkata, buat masa ini, anaknya perlu memakai lampin pakai buang yang melibatkan kos RM300.

“Setakat ini saya masih mampu, tetapi pada masa depan semuanya bergantung kepada ke­perluan perubatan anak saya.

“Rumah ini saya sewa dengan bayaran RM1,000 sebulan. Selain Wan Nurjannah, saya tinggal bersama isteri dan dua anak lelaki berusia empat dan lima tahun,” katanya.

Wan Zaki berkata, selain kos lampin pakai buang, kos fisiote­rapi sebanyak RM150 satu sesi amat diperlukan bagi memastikan proses pemulihan Wan Nurjannah tidak terbantut.

Katanya, doktor yang merawat anaknya memaklumkan, sesi fisioterapi hanya sekali sebulan, namun semuanya bergantung kepada kemampuan kewangan dirinya untuk mengadakan sesi fisioterapi yang lebih kerap.

“Saya sedang memohon bantuan Lembaga Zakat Sela­ngor (LZS) dan pihak lain yang berkaitan bagi memastikan anak saya segera pulih daripada kecederaannya.

“Sebagai bapa, saya harap anak saya kembali pulih seperti dahulu dan boleh menduduki peperiksaan SPM yang saya pohon untuk penangguhan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 169981001585 atas nama Wan Zaki Wan Daud.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI