fbpx

Lebih 5,000 pekerjaan ditawarkan di karnival kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Razak menunjukkan poster Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 Oktober ini di MITC, Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Sebanyak 5,259 peluang pekerjaan disediakan di Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia pada 14 hingga 16 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, karnival tersebut merupakan anjuran kerajaan negeri bersama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Menurut beliau, sebanyak 42 majikan daripada pelbagai sektor seperti bioteknologi, perkhidmatan, perkilangan, perhotelan, telekomunikasi dan perbankan akan mengambil bahagian.

“Karnival ini bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Antara majikan yang terlibat adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Air Asia dan Honda.

“Selain temuduga, karnival ini turut menyediakan khidmat nasihat kaunseling kerjaya dan pendaftaran MYFuturejobs kepada pencari kerja.

“Kerajaan negeri menyeru orang ramai yang mencari kerja atau ingin meneroka peluang pekerjaan baharu untuk mencuba menghadiri sesi temuduga terbuka bersama majikan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Karnival Kerjaya Jamin Kerja di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Abd. Razak Omar.

Sementara itu, Abd. Razak berkata, pihaknya menyasarkan seramai 20,000 pencari kerja akan hadir pada acara yang berlangsung selama tiga hari itu.

Katanya, komposisi pekerjaan terdiri daripada 60 peratus jawatan di peringkat pengurusan manakala selebihnya peringkat sokongan.

“Kali ini fokus diberikan kepada jawatan kategori pengurusan diperingkat pertengahan dan ke atas.

“Mereka yang berminat untuk menghadiri temuduga boleh membuat pendaftaran awal di laman sesawang Perkeso atau datang terus ke karnival dengan berpakaian kemas serta membawa dokumen berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI