GEORGE TOWN – Rakyat akan terus diheret dengan konflik politik berpanjangan ekoran keengganan beberapa kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing secara serentak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, keengganan Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan untuk membubarkan DUN walaupun hanya tinggal enam bulan sahaja lagi hanya merugikan wang rakyat.
“Masa bukan panjang hanya tinggal enam bulan sahaja untuk terus berkuasa. Sepatutnya mereka kembalikan kuasa memilih kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya secara serentak dengan kerajaan Pusat.
“Rakyat tidak wajar diheret dalam konflik politik berpanjangan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Yussof berkata, peluang untuk Pakatan Harapan dan Pas menang semula di negeri-negeri yang diterajui mereka juga tipis sekiranya mereka mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan.
“Selalunya corak pengundian melibatkan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri adalah selari,” katanya.
Tambahnya, masa untuk pimpinan PH dan Pas Pusat mengubah keputusan masih ada dan mereka dinasihatkan untuk membubarkan DUN secara serentak agar kestabilan politik negara dapat dicapai selepas PRU-15.














