fbpx

India dilanda wabak bakteria kebal antibiotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bakteria kebal antibiotik memburukkan keadaan pesakit radang paru-paru di ICU. - BBC

NEW DELHI – Sebuah hospital di negeri Maharashtra, India sedang bergelut dengan penularan wabak ruam akibat  jangkitan bakteria ‘superbug’ yang kalis kepada ubat antibiotik, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Ini berlaku apabila bakteria berubah dari masa ke masa dan menjadi kebal terhadap ubat-ubatan yang sepatutnya menyembuhkan jangkitan.

Rintangan terhadap antibiotik dikesan secara meluas dalam kalangan pesakit luar dari kampung dan pekan kecil yang datang ke Hospital Kasturba bagi simptom radang paru-paru dan jangkitan saluran kencing.

Memandangkan kebanyakan mereka tidak membawa preskripsi dan sudah lupa akan ubat yang pernah diambil, doktor mendapati ia sangat sukar untuk mendapatkan rekod pendedahan lampau mereka kepada kerintangan antibiotik.

India adalah salah satu negara yang paling teruk dilanda situasi perubatan yang digelar ‘rintangan antimikrobial” iaitu jangkitan bakteria  yang kalis antibiotik dan bertanggungjawab terhadap kematian hampir 60,000 bayi baru lahir setiap tahun.

Laporan baharu oleh kerajaan menggariskan  gambaran keadaan semasa yang menjadi semakin buruk.

Ujian yang dilaksanakan di Hospital Kasturba untuk mengenal pasti ubat  antibiotik mana yang paling berkesan dalam menangani lima bakteria utama mendapati bahawa beberapa ubat utama hampir tidak berkesan.

Bakteria tersebut  termasuk E.coli yang biasa ditemui dalam usus manusia dan haiwan selepas makan makanan tercemar, Klebsiella pneumonia  yang boleh menjangkiti paru-paru serta menyebabkan radang paru-paru dan lapisan otak  dan Staphylococcus aureus iaitu bakteria bawaan makanan yang boleh disebarkan melalui titisan udara dan membawa maut.

Doktor-doktor  mendapati bahawa beberapa antibiotik utama kurang berkesan sebanyak 15 peratus dalam merawat jangkitan yang disebabkan oleh patogen tersebut.

“Memandangkan hampir semua pesakit kami tidak mampu membeli antibiotik yang lebih baik, mereka berdepan risiko kematian lebih tinggi apabila mengalami radang paru-paru yang memerlukan bantuan ventilator di Unit Rawatan Rapi (ICU),” kata penguasa perubatan hospital itu,  Dr SP Kalantri. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI