fbpx

Projek tebatan banjir di HRPZ II kekang banjir masuk hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy (kanan) melakukan simbolik pemasangan komponen pada pagar sistem penghadang banjir di selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Mencegah Banjir HRPZ II di HRPZ II, Kota Bharu hari ini. - FOTO/ KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

KOTA BHARU – Projek tebatan banjir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mampu menampung kadar dan amaun aliran air yang tinggi sekali gus mampu mengelakkan berlakunya banjir dalam kawasan hospital tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, projek di bawah Rancangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan kos sebanyak RM8 juta itu merupakan satu-satunya projek yang dilaksanakan kerajaan di hospital di negara ini.

Menurutnya, projek tersebut merangkumi beberapa skop utama iaitu pembinaan pagar konkrit, saliran air termasuk kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.

“Sebanyak 14 pagar penghadang banjir telah dibina bagi menghalang kemasukan air ke dalam kawasan hospital. Selain itu, sistem pam air turut dibina dan kedua-dua sistem itu mengambil masa selama 30 bulan untuk disiapkan.

“Saya percaya pelaksanaan projek tebatan banjir ini dapat meningkatkan taraf kemudahan infrastuktur di hospital ini terutamanya dalam persediaan untuk menghadapi bencana banjir,” katanya semasa menyampaikan ucapan semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Mencegah Banjir HRPZ II di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri. Dr. Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeru, Datuk Azami Mohd. Noor dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Sabri Abdul Mulok.

Berdasarkan rekod, projek tersebut dimulakan pada 2 Februari 2020 dan siap sepenuhnya pada 30 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, menurut Khairy Jamaluddin, banjir besar melanda Kelantan pada 2014 telah menyebabkan keseluruhan kawasan HRPZ II ditenggelami air sehingga melumpuhkan operasi ketika itu.

Katanya, keadaan itu turut mengakibatkan wad-wad dan fasiliti hospital yang terjejas banjir terpaksa ditutup sehingga pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

“Sistem saliran di kawasan HRPZ II tidak dapat menampung kadar dan amaun aliran air yang tinggi sehingga menyebabkan berlakunya banjir dalam kawasan hospital.

“Justeru, saya berharap agar kemudahan ini dapat memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih efektif serta berkesan ketika musim banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI