fbpx

Marrybrown buka lebih 40 cawangan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RESTORAN Marrybrown Masjid Tanah merupakan cawangan ketujuh yang dibuka di Melaka.

ALOR GAJAH – Pengendali rangkaian restoran makanan segera, Marrybrown Sdn. Bhd. (Marrybrown) akan membuka beberapa cawangan baharu dalam masa terdekat, menjadikan jumlah keseluruhan restoran dibuka tahun ini melebihi 40 buah premis.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Nancy Liew berkata, jumlah itu jauh mengatasi sasaran awal iaitu sebanyak 30 restoran baharu setahun.

Jelasnya, dua lagi restoran akan di buka di Alor Gajah dan Krubong, pada November dan Disember depan, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan cawangan Marrybrown di Melaka kepada sembilan buah.

“Tahun ini kami akan membuka beberapa buah lagi restoran baharu dalam masa terdekat menjadikan jumlah cawangan dibuka melebihi 40 premis.

“Lokasi lain adalah di Johor, Kelantan dan Terengganu. Kebanyakan restoran baharu yang dibuka tertumpu di sekitar Lembah Klang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Marrybrown Cawangan Masjid Tanah di sini, hari ini.

Nancy Liew

Mengulas lanjut mengenai prestasi syarikat, beliau optimis kedudukan Marrybrown akan terus kukuh tahun depan meskipun kelembapan ekonomi dunia dijangka berlaku.

Jelasnya, restoran itu sentiasa menawarkan harga yang munasabah dan berpatutan, disesuaikan mengikut keadaan semasa kuasa beli pelanggan.

“Situasi ini sama seperti ketika pandemik yang mana banyak perniagaan lain menghadapi masalah, tetapi industri makanan dan minuman terus berdaya tahan kerana pelanggan tetap mencari sesuatu untuk dimakan. Bezanya adalah di restoran mana dan julat harga yang boleh diterima.

“Saya tidak bimbang dengan perniagaan ini walaupun inflasi sudah berlaku dan kemelesetan yang semakin hampir, namun kami tetap perlu bekerja keras untuk mengekalkan harga dan mencipta pelbagai tawaran baharu kepada pelanggan.

“Saya yakin Marrybrown akan terus berada di landasan terbaik,” ujarnya.

Marrybrown merupakan jenama tempatan yang mengendalikan lebih 500 cawangan restoran di 16 buah negara seperti Singapura, Thailand, Brunei, India, China, Afrika, Asia Barat dan Sweden.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI