fbpx

Suami isteri disiasat, video pandu sambil hisap gam tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular memaparkan pemandu lelaki menghidu sesuatu daripada plastik dipercayai sedang menghisap gam.

MELAKA – Sepasang suami isteri disiasat selepas sebuah video yang memaparkan mereka sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak menaiki kereta dengan pemandunya menghisap gam tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pasangan suami isteri berusia 33 dan 23 tahun itu dibawa ke Balai Polis Melaka Tengah di sini oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik kelmarin.

Menurut beliau, hasil soal siasat pihaknya mendapati hanya suspek lelaki mengaku menghisap gam.

“Pada Jumaat lalu, kira-kira pukul 11 malam, pasukan kita pergi ke Pernu dan berjumpa dengan pemilik kenderaan terbabit untuk memeriksa kereta yang tular.

“Pemandu lelaki dan dua penumpang iaitu isteri serta anak tirinya berusia empat tahun dikesan dan dibawa ke balai polis.

“Hasil soal siasat hanya si suami mengaku dia menghisap gam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kereta Proton Iswara dinaiki pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak.

Klip video berdurasi 17 saat itu tular memaparkan seorang lelaki memandu kereta jenis Proton Iswara dilihat menghidu sesuatu dalam plastik dengan seorang wanita di tempat duduk penumpang hadapan.

Menerusi video sama, individu yang merakam mendakwa terdapat seorang kanak-kanak perempuan di tempat duduk belakang.

Dalam pada itu, Christopher berkata, ujian air kencing mendapati pasangan itu bebas mengambil bahan terlarang.

“Kertas siasatan dibuka di bawah peraturan 17 LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalulintas 1959 dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI