fbpx

Peniaga enggan jual telur ayam, kawalan harga terlalu lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosol menyampaikan cenderamata kepada seorang peniaga pada perasmian REDI Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan Bazar JB di Bazar Karat, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kawalan harga bagi telur ayam bersubsidi yang terlalu lama menyebabkan ramai peniaga enggan menjual telur tersebut serta membela ayam telur.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, keadaan itu mendorong kekurangan bekalan telur bersubsidi di pasaran yang berlaku di Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, isu yang dikesan sejak seminggu lalu itu telah diketengahkan dalam Mesyuarat Jihad Inflasi dipengerusikan oleh Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

“Alasan yang diberikan peniaga ialah kerajaan membuat kawalan harga terlalu lama, dahulunya dilakukan untuk tempoh dua minggu sahaja contohnya ketika musim perayaan dan sebagainya.

“Apabila dilakukan terlalu lama, peniaga terpaksa menyerap kos sedia ada yang dilaporkan meningkat seperti kos makanan, pengangkutan serta nilai ringgit rendah untuk membeli makanan import.

“Oleh itu, kita minta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk melihat perkara ini dengan serius kerana ia akan memberi kesan kurang baik sekiranya tidak diatasi,” katanya mengulas isu kekurangan bekalan telur bersubsidi di pasaran.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Johor di Bazar JB, malam tadi.

Semalam, Annuar dilaporkan berkata, cadangan menaikkan subsidi bagi telur ayam gred kawalan akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, hari ini susulan kekurangan bekalan telur gred kawalan di pasaran ketika ini.

Katanya, tinjauan mendapati, pengeluar dan pengedar mendakwa, subsidi tiga sen bagi telur gred kawalan A, B dan C tidak menarik kerana kos ditanggung adalah lebih tinggi.

Sementara itu, Rosol memberitahu, pihak kementerian bersedia dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengatasi isu ini.

“Isu ini perlu ditangani segera bagi mengelakkan ia terus berlarutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI