fbpx

Lapan premis ternakan babi punca air kotor, busuk di Tanjung Sepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hoy Sian ketika meninjau lokasi ternakan babi bersama beberapa agensi di sekitar Tanjung Sepat.

SHAH ALAM – Sebuah lokasi ternakan babi yang diusahakan lapan premis di atas tanah persendirian berstatus pertanian dikenalpasti punca pelepasan air kotor dan berbau ke pantai Tanjung Sepat dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pihaknya menerusi beberapa agensi mengatur strategi dan usaha menangani isu pencemaran air laut itu.

Kata beliau, lawatan bersepadu di beberapa ladang ternakan babi dilakukan bagi mengenal pasti punca pelepasan air kotor berwarna hitam itu seperti dilaporkan akhbar sebelum ini.

“Lokasi punca itu merupakan tempat penternakan babi diusahakan lapan premis yang beroperasi dengan lesen didaftarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Siasatan mendapati air parit yang mengalir keluar dari tanah lot persendirian dan ke laut itu disyaki punca kepada penurunan kualiti air tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Loy Sian, pensampelan turut telah dilaksanakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di premis berkenaan.

“Ia bagi melihat parameter Ammoniakal Nitrogen (AN) dan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD).

“Keputusan sampel itu berada dalam Kelas Kelima dan signifikan dengan aktiviti berkaitan perternakan,” ujarnya.

Justeru, kata beliau, LUAS mengeluarkan surat arahan kepada pemilik tanah mengikut Seksyen 121 Enakmen LUAS 1999.

“Pemilik tanah itu diarah menjalankan kerja pemulihan dan pembaikan ke atas parit di dalam lot tanah sehingga kualitinya berada pada tahap memuaskan.

“Selain itu, pemilik berkenaan diminta menjalankan kerja pembaikan ke atas parit di luar lot tanahnya,” katanya.

Tambah Loy Sian, satu kertas siasatan terperinci akan dilengkapkan untuk tindakan perundangan sekiranya pemilik premis gagal mematuhi arahan itu.

Bulan lalu, JPV mengarahkan semua pengusaha ternakan babi di Tanjung Sepat segera melaksanakan kerja pembersihan dan penyelenggaraan ke atas ladang dan sistem kumbahan mereka.

Selain itu, najis ternakan berkenaan perlu dilupuskan di luar kawasan ladang dan dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI