fbpx

Keganasan rumah tangga ancam mental pasangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

AWAL minggu lalu, industri seni hiburan Indonesia dikejutkan dengan kisah ‘gelora’ rumah tangga pasangan selebriti Rizky Billar dan Lesti Kejora.

Rumah tangga pasangan yang dianggap cukup romantis itu tiba-tiba huru-hara selepas Rizky dilaporkan memukul isterinya, Lesti gara-gara lelaki itu mengesyaki dia berlaku curang terhadapnya.

Sebenarnya isu mengenai keganasan dalam rumah tangga bukanlah suatu perkara baharu yang terjadi di dunia.

Pada tahun lalu sahaja, kes keganasan rumah tangga me­ningkat sebanyak 42 peratus ia­itu melibatkan 7,468 kes berbanding 5,260 kes pada 2020.

Definisi keganasan rumah tangga bukan semata-mata melibatkan keganasan fizikal. Bahkan turut merangkumi aspek seksual dan psikologi se­perti memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina.

Pakar psikologi dari Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, keganasan rumah tangga boleh melibatkan pasangan atau anak-anak.

“Keganasan rumah tangga bia­sanya melibatkan wanita. Penderaan pula boleh melibatkan fizikal atau emosi.

“Kedua-duanya dianggap sebagai keganasan rumah tangga,” jelasnya.

Kata Mariani lagi, penderaan itu boleh mempengaruhi perubahan sikap atau psikologi mangsa.

“Kesan penderaan fizikal boleh dilihat tetapi jika melibatkan emosi, ia boleh nampak menerusi perubahan sikap kerana meninggalkan trauma yang mendalam.

“Antaranya mangsa akan sentiasa bimbang, takut dan cemas. selain merasakan dirinya tidak selamat,” katanya.

Bukan itu sahaja, jika berlaku berpanjangan, ia boleh menyebabkan mangsa stres dan mengganggu mental hingga kemurungan dan menjejaskan rutin hariannya.

“Keadaan akan menjadi lebih buruk jika dipendam sendirian sebaliknya perlu diluahkan,” katanya.

Justeru, Mariani menasihati supaya mangsa segera mencari alternatif dan penyelesaian jika merasai perubahan sikap.

“Mangsa keganasan rumah tangga boleh mengalami perubahan sikap yang agak drastik. Daripada seorang yang pendiam menjadi panas baran, ceria kepada tidak semangat dan suka menyendiri.

“Kesihatan mangsa keganasan rumah tangga juga boleh terjejas apabila mereka mulai mengalami masalah tidur serta hilang selera makan sehingga akan memberi impak pada tubuh badannya,” katanya.

Dalam pada itu, Mariani juga menasihati keluarga mangsa atau mereka yang berada di sekelilingnya supaya turut sama memainkan peranan untuk mengambil tindakan tepat se­perti membawa mangsa berjumpa dengan kaunselor atau pihak yang berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Ada segelintir mangsa enggan membuat laporan polis kerana takut kehilangan suami (perceraian). Ada antara mereka juga bimbang untuk bertemu dengan kaunselor kerana faktor kos yang harus dibayar.

“Kaunselor sebagai rujukan untuk mencari jalan penyele­saian terbaik kepada mangsa. Tetapi kalau melibatkan kecede­raan serius, kaunselor juga boleh menasihati mangsa untuk membuat laporan yang sepatutnya kepada pihak berkuasa.

“Masyarakat sekeliling juga sepatutnya mengurangkan gosip-gosip yang boleh menjadi stigma terhadap keganasan rumah tangga,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI