fbpx

Promosi tarik minat kanak-kanak menggunakan vape atau rokok elektronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Isu berkaitan rokok bukanlah satu perkara baharu di Malaysia dan telah diperdebatkan sejak sekian lama.

Secara umumnya, merokok menjadi punca utama kepada pelbagai masalah kesihatan.
Malah di Malaysia sendiri, merokok masih merupakan salah satu daripada 10 punca utama kemasukan ke hospital dan penyebab kematian.

Dianggarkan lebih daripada 27,000 kematian rakyat di negara ini setiap tahun berkaitan dengan merokok.

Kini bagi merawat masalah ketagihan nikotin ataupun merokok, ada pihak yang mencadangkan penggunaan konsep pengurangan kemudaratan atau Harm Reduction bagi mereka yang ingin keluar daripada masalah tersebut.

Untuk tujuan tersebut ramai yang beralih kepada produk alternatif seperti rokok elektronik atau vape bagi membantu mengurangkan pengambilan tembakau sekali gus mendorong mereka berhenti merokok.

Namun apa yang lebih membimbangkan, terdapat juga kajian menunjukkan bahawa semakin ramai kanak-kanak menggunakan rokok elektronik dan vape ini bagi menggantikan tabiat merokok.

Pengerusi Pertubuhan Green Lung Malaysia, Ho Rhu Yann berkata, kanak-kanak tidak sesuai untuk menjadikan rokok elektronik atau vape ini sebagai alternatif Harm Reduction.

Harm Reduction ini hanya bersesuaian untuk perokok tegar, jadi kanak-kanak tidak memerlukan produk sebegini.

“Mengapa kanak-kanak perlukan rokok elektronik atau vape sekiranya sebelum ini mereka tidak merokok?” jelasnya.

Rhu Yann berpendapat, pemasaran berlebihan yang dilakukan oleh pemain industri telah menarik minat kanak-kanak terutamanya untuk memiliki rokok elektronik dan vape.

Malah, cecair daripada pelbagai perisa seperti bandung, cola dan lain-lain lagi telah dihasilkan oleh pemain industri untuk menarik perhatian kanak-kanak untuk mencubanya.

“Selain itu bentuk pembungkusan juga sangat menarik yang boleh mengelirukan kanak-kanak dan mereka merasakan ia sesuatu yang selamat untuk digunakan.

“Malah, melalui satu kajian yang dilaksanakan, lebih 40 peratus kanak-kanak merasakan rokok elektronik atau vape selamat kerana pemasaran yang dilakukan oleh pemain industri memberi tanggapan sedemikian,” jelasnya.

Tambah Rhu Yann, berdasarkan kajian daripada Universiti Johns Hopkins baru-baru ini telah mendedahkan, lebih 2,000 bahan kimia yang ada pada rokok elektronik serta vape dan ini bercanggah dengan dakwaan pemain industri yang mengatakan ia adalah selamat.

Malah, kesan daripada rokok elektronik atau vape ini juga boleh menyebabkan kanser dan sangat berbahaya.

Sementara itu, Rhu Yann berkata, kawalan produk rokok elektronik atau vape terhadap kanak-kanak adalah sangat kurang.

“Kita perlu ada satu akta yang boleh menghalang kanak-kanak daripada mudah mendapatkan produk tersebut.

“Peruntukan Generasi Penamat (GEG) merupakan satu langkah terbaik untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini,” tegasnya.

Bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan bercadang melaksanakan GEG menerusi Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Melalui GEG, individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 dan seterusnya tidak boleh membeli dan menggunakan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin berkata, bila berbincang mengenai kanak-kanak, maka kita perlu melihat kepada golongan 18 tahun ke bawah kerana mereka masih di bawah umur.

Menurutnya, jika dilihat kepada promosi rokok elektronik atau vape, ia memfokuskan kepada golongan kanak-kanak dan juga remaja kerana pemain industri mengetahui bahawa mereka ini adalah generasi yang mudah untuk dipengaruhi.

“Mereka mempengaruhi golongan ini hanya dengan menggunakan platform media sosial.

“Sebagai contoh mereka menjualnya melalui live di Facebook dan kanak-kanak yang melihatnya boleh terus melakukan pembelian,” katanya.

Tambah Nur Amani, langkah ini telah mempermudahkan kanak-kanak untuk mendapatkan produk tersebut tanpa sebarang kawalan.

Selain itu, rokok elektronik atau vape juga dihasilkan dalam pelbagai bentuk misalnya seperti jam tangan pintar sehingga menyukarkan ibu bapa mengesan anak-anak mereka terlibat dalam masalah tersebut.

Oleh itu, Nur Amani berpendapat semua pihak harus memainkan peranan dalam membantu kanak-kanak dan remaja agar mereka tidak terjebak dalam hal tersebut.

Menurutnya, jika dibiarkan generasi ini terus terlibat dengan rokok elektronik atau vape, maka ia akan mengundang bahaya buat mereka.

“Malah, berdasarkan tinjauan yang kami lakukan, generasi yang mengambil barang terlarang daripada rokok elektronik atau vape terdorong untuk mencampurkan cecair perisa dengan bahan terlarang lain seperti ganja yang berbahaya untuk kesihatan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Dr. Wency Bui Kher Thinng berkata, keputusan melaksanakan GEG tidak akan memberi sebarang kesan kepada pemain industri tembakau, rokok elektronik dan vape dari segi pendapatan.

“GEG hanya fokus kepada generasi muda yang lahir selepas tahun 2007.

“Perniagaan pemain industri tidak akan terjejas kerana generasi muda ini bukan menjadi pelanggan utama mereka.

“Pelanggan tetap mereka terdiri daripada mereka yang telah berusia yang masih tegar untuk meneruskan tabiat merokok,” katanya.

Namun, dari segi keseluruhan ekonomi, kita perlu ada GEG jika mahu rakyat Malaysia terus sihat.
Jika generasi yang akan datang bebas daripada tabiat merokok dan masing-masing sihat produktiviti negara akan bertambah dan ekonomi akan berkembang.

Dalam pada itu, Wency menjelaskan, sekiranya GEG dilaksanakan, maka hasil cukai buat kerajaan daripada produk tembakau, rokok elektronik dan vape mungkin akan berkurangan.

Menurutnya, pihak kerajaan mengutip cukai bukan semata-mata untuk mendapatkan pulangan buat negara.

“Kerajaan mengenakan cukai ini adalah untuk mengurangkan permintaan terhadap rokok. Apabila cukai dikenakan, harga rokok akan meningkat dan mengurangkan orang ramai daripada terus merokok.

“Walaupun kutipan cukai rokok akan berkurangan setelah pelaksanaan GEG, namun untuk masa depan negara ia akan dapat menjimatkan kos rawatan bagi mengubati penyakit akibat komplikasi tabiat merokok,” terangnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI