PETALING JAYA – Buah pinggang diambil, manakala hati, jantung atau paru-paru pula dikeluarkan daripada mayat individu yang berikrar untuk menderma organ selepas kematian mereka.
Keadaan ini menyebabkan ramai yang tidak mahu menderma organ kepada pesakit kronik kerana tidak sanggup menyeksa mayat selain mendapat bantahan pihak keluarga.
Stigma masyarakat ini sangat kuat buat golongan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman terutamanya di negeri Pantai Timur tanah air.
Pengurus Klinikal Pendermaan Organ Kebangsaan Kanan, Dr. Hasdy Haron berkata, pandangan yang skeptikal dalam kalangan masyarakat dilihat sebagai punca mengapa pendermaan organ di negara ini bergerak dengan amat perlahan sejak tahun 1997.
Menurutnya, sejak 25 tahun lalu, hanya 779 penderma organ sebenar selepas kematian, sedangkan yang menunggu ketika ini adalah 10,423 pesakit buah pinggang kronik yang memerlukan organ baharu.
“Cetek ilmu agama, tidak percaya kepada kata pakar dan tidak mahu mencederakan mayat merupakan alasan serta punca mengapa orang tidak mahu menderma organ,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dr. Hasdy memberitahu, secara demografi dan jumlah penduduk di sesebuah negeri, didapati masih kurang jumlah penderma organ dari Kelantan, Terengganu dan Pahang berbanding negeri-negeri lain.
Katanya, masih ada yang tetap pendirian bahawa menderma organ itu akan menyeksa mayat dan mereka yang bukan Islam pula risau tidak dapat menatap muka si mati di dalam keranda kerana anggota badan sudah tidak lengkap.
“Kesedaran yang kurang ini sedang ‘diperangi’ Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) dengan memberikan penerangan yang jelas buat golongan tua dan muda yang keliru tentang kebenaran menderma organ,” ujarnya.
Beliau memberitahu, urusan pengebumian sebenarnya berjalan seperti biasa dan tidak dilambatkan jika si mati merupakan penderma organ.
Jelasnya, proses perolehan organ dan tisu diperoleh daripada tubuh penderma tidak akan sesekali menjejaskan adat pengebumian atau upacara hormat kepada jenazah.
“Umum juga perlu tahu sekiranya pengikrar bertukar fikiran tidak mahu menderma organ dan tisu, mereka boleh memberitahu waris dan memulangkan kad pengikrar kepada kami,” katanya.
Statistik NTRC menunjukkan jumlah penderma organ di Pantai Timur adalah yang paling rendah berdasarkan bilangan penduduk, namun rekod pesakit kronik yang memerlukan organ pula tinggi.
Lima negeri Semenanjung terendah pengikrar derma organ mengikut negeri dari tahun 1997 hingga Ogos tahun ini adalah Perlis (3,235), diikuti Kelantan (14,020), Melaka (14,306), Terengganu (16,582) dan Pahang (18,582).
Lima negeri yang tertinggi pula adalah negeri Selangor dengan jumlah penderma organ seramai 96,406 orang, diikuti Johor (87,548), Perak (57,151), Wilayah Persekutuan (52,069) Pulau Pinang (50,521).
Bagaimanapun, Dr. Hasdy memberitahu, tahun ini dari Januari hingga Ogos lalu berlaku peningkatan penderma organ dalam kalangan orang Melayu sebanyak lebih tiga kali ganda.
Menurutnya, itu adalah pencapaian terkini dan kesedaran sudah mula timbul dalam kalangan orang Melayu yang kini mudah menerima kempen yang diusahakan oleh NTRC.
“Dalam 30 orang yang menderma, 14 daripada mereka bangsa Melayu, 12 Cina dan 4 India. Selalunya Melayu merupakan jumlah penderma organ yang terendah dengan angka tiga atau empat orang sahaja setiap tahun sebelum ini.
“Tahun ini jumlah penderma orang Melayu Islam lebih daripada bangsa lain dan merupakan perubahan yang ketara. Tahun-tahun sebelum ini orang Islam adalah ketiga, yang pertama adalah Cina dan diikuti India,” jelasnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, pesakit buah pinggang kronik menjadi golongan yang paling ramai memerlukan organ baharu dengan jumlah 10,423 orang sehingga Julai lalu, diikuti 10 pesakit paru-paru, lapan pesakit jantung dan seorang bagi pesakit hati berserta jantung.
Mereka yang sedang menderita sakit terpaksa menunggu sehingga 10 tahun sebelum tiba giliran untuk mendapatkan rawatan pemindahan organ baharu ekoran hanya terdapat 779 penderma organ sebenar selepas kematian sejak 1997.














