fbpx

Mahkamah: Jho Low di rumah Najib ketika pembukaan akaun AmBank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jho Low (kiri) Najib (kanan)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berada di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari yang sama bekas Perdana Menteri menerima dokumen bagi pembukaan akaun AmBank pada 2011.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang, 75, berkata, beliau melihat Jho Low tiba menaiki sebuah kereta manakala beliau dihantar oleh pemandu sebuah kenderaan lain ke rumah Najib di Kenny Hill, Bukit Tunku di sini.

Saksi pendakwaan ke-39 berkata, beliau dijemput di rumahnya oleh pemandu kenderaan itu sebelum menghala ke rumah Najib secara konvoi bersama-sama beberapa kenderaan lain yang turut dinaiki Jho Low.

Ujar Tek Kuang, beliau bagaimanapun tidak bercakap dengan Jho Low dan terus bertemu bekas Perdana Menteri di ruang tamu rumah tersebut.

Tek Kuang menjelaskan, kehadirannya di situ bertujuan menyerahkan dokumen pembukaan akaun AmBank kepada Najib untuk ditandatangani dan dibawa balik ke Cawangan Raja Chulan dan diserahkan kepada bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Pada sesi pemeriksaan balas yang dikendalikan oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, saksi turut ditanya sejauh mana beliau mengenali Jho Low.

Menurut Tek Kuang, beliau tidak begitu mengenali ahli perniagaan itu secara peribadi namun pernah bertemunya dalam beberapa majlis sosial dan minum petang.

Saksi berkenaan menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau pernah menerima hadiah telefon pintar Blackberry daripada Jho Low.

Menurut beliau, sepanjang pengetahuannya Jho Low bukan pelanggan AmBank.

Saksi turut ditanya oleh Muhammad Shafee sejauh mana beliau mengenali bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhubung keterangannya semalam.

Ujar Tek Kuang, beliau mengenali Zeti Akhtar ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya sekitar tahun 60an kerana bekas gabenor itu mengambil jurusan yang sama di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI