fbpx

Mahkamah: Zeti tahu Najib terima AS$100 juta daripada Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Zeti dan Najib.

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mengetahui Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerima wang AS$100 juta daripada Kerajaan Arab Saudi pada 2011.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang, 74, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau memaklumkan kepada Zeti Akhtar bahawa Najib akan membuka akaun di bank berkenaan bagi menerima masuk wang tersebut.

Ujar saksi pendakwaan ke-39, perkara itu dimaklumkan dalam temujanji empat mata yang dijalankan secara rahsia sekitar 2011.

“Dalam pertemuan itu, hanya kami berdua sahaja yang berbincang kerana perkara itu adalah rahsia dan melibatkan kepentingan Perdana Menteri.

“Penting untuk saya memaklumkan hal ini kepadaTan Sri Zeti kerana ianya melibatkan terma `political exposed person’ yang bermaksud ianya melibatkan kepentingan negara,” ujar beliau ketika membacakan pernyataan bertulisnya.

Ujar Tek Kuang, Zeti Akhtar mengambil maklum perkara tersebut dan meminta agar pembukaan akaun dan penerimaan wang dilakukan mengikut peraturan bank dan BNM sedia ada.

Saksi pendakwaan ke-39 memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri.

Dalam pernyataannya, saksi selanjutnya berkata, beliau menyerahkan kesemua urusan pengoperasi kepada Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu (ketika itu) dan Bahagian Operasi diketuai oleh Ross Foden.

Ujarnya, Ross dan pasukannya bercadang untuk mengawalselia akaun Najib dengan menyediakan kod nama khas kerana akaun itu adalah sensitif selain bagi mengelakkan terjadi kebocoran maklumat sepertimana Public Bank bagi kes National Feedlot Corporation

“Saya bersetuju dengan kod nama iaitu `AmPrivate Banking-MR’ bagi akaun Dato’ Sri Najib bagi mengelakkan maklumat peribadi disalahgunakan.

“Saya diberi sepucuk surat untuk dihantar kepada Tan Sri Zeti dengan memasukkan kod nama `AmPrivate Banking-MR’ dalam isi surat tersebut,” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Ahmad Akram Gharib,” ujarnya.

Kata saksi, surat itu dihantar pada 9 Februari 2011 bagi memaklumkan berhubung kod nama bagi akaun Ambank Islamic milik Najib untuk memudahkan pihak BNM memantau dan menyelia Sistem Ringgit Operations Monitoring System (ROMS).

Dalam pernyataan itu, saksi turut berkata, beliau bertemu Najib di kediamannya di Kenny Hill, Bukit Tunku di sini bagi menyerahkan dokumen pembukaan akaun AmBank di Cawangan Raja Chulan.

“Beliau memaklumkan kepada saya bahawa akan ada kemasukan wang daripada Arab Saudi. Wang yang besar dalam matawang USD iaitu berjumlah AS$100 juta.

“Saya tidak bertanya tujuan apa wang tersebut diterima oleh beliau, namun beliau sendiri menyatakan bahawa wang itu adalah sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi untuk `aktiviti islamik’ kepadanya,” ujar saksi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok bagi prosiding soal balas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI