fbpx

Sindiket seleweng diesel terbesar Segamat tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zamry Marinsah (empat dari kanan) menunjukkan alatan yang digunakan bagi aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah gudang kosong di Kampung Logah, Segamat.

SEGAMAT – Pasukan ‘Task Force’ Kontraban Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat merampas 61,000 liter minyak diesel bernilai RM130,350 selepas menumpaskan satu sindiket penyelewengan di sebuah gudang kosong di Kampung Logah, Segamat dekat sini, petang semalam.

Ia merupakan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi terbesar berjaya ditumpaskan di daerah ini, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata, sepasukan pegawai dan anggota menyerbu sebuah lokasi gudang kosong tepi jalan di Kampung Logah, Segamat, pada pukul 5.30 petang.

“Ketika serbuan, terdapat tiga suspek dalam keadaan mencurigakan sedang menjalankan kerja pemindahan minyak yang dipercayai diesel daripada tiga tangki kecil menggunakan hos penyambung, mesin penyedut dan lima buah kompresor.

“Pemeriksaan lanjut ke atas tangki itu mendapati terdapat kira-kira 32,000 liter cecair yang dipercayai minyak diesel manakala tiga tangker kecil mengandungi kira-kira 29,000 liter minyak diesel,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Kampung Logah di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek tidak memiliki lesen sah atau dokumen kebenaran untuk urusan barangan kawalan berjadual dan kesemua minyak berkenaan berjumlah 61,000 liter bernilai RM130,350 dirampas bagi tujuan siasatan.

“Turut disita sebuah lori tangki serta peralatan lain yang digunakan di tempat serbuan dengan anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM270,350,” katanya.

Ahmad Zamry berkata, tiga lelaki rakyat tempatan dari Negeri Sembilan dan Melaka yang berusia diantara 25 hingga 31 tahun turut ditahan bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI