fbpx

Penduduk Bangkok jumpa ular setiap 15 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman yang dimuat naik penduduk di Din Daeng memaparkan ular sawa boa tergantung di atas pokok berdekatan rumahnya. - Bangkok Post

BANGKOK – Perkhidmatan talian kecemasan di Bangkok mendedahkan bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan  ular di kediaman penduduk selang 15 minit setiap hari, lapor laman berita Wion News semalam.

Perkembangan itu menyaksikan tangkapan ular di Bangkok sahaja mencecah sebanyak  60,000 ekor setiap tahun.

Data itu didedahkan kepada umum sebagai reaksi kepada siaran foto online oleh seorang penduduk Bangkok mengenai gambar seekor ular sawa besar (spesies ular tidak berbisa) tergantung pada sebatang pokok di daerah Din Daeng.

Menurut operator talian kecemasan, kira-kira 200 panggilan dibuat setiap hari di Bangkok yang meminta bantuan berhubung ancaman haiwan berbahaya termasuk ular, biawak  dan tebuan.

Operator itu berkata, bagaimanapun hampir separuh daripada panggilan yang diterima  adalah mengenai ular.

“Secara purata, laporan dibuat setiap 15 minit dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa mencatat rekod kejayaan sehingga 90 peratus apabila melibatkan tangkapan ular.

Reptilia yang ditangkap akan dihantar ke Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan untuk ditempatkan semula dalam persekitaran semula jadi yang lebih sesuai.

Menurut perunding Pertubuhan Taman Zoologi, Dr. Alongkorn Mahanop, tiada angka tepat tentang jumlah sebenar ular yang ada di Bangkok kerana belum ada bancian rasmi populasi ular pernah dilakukan.

Dia membuat anggaran kasar bahawa setiap daerah mungkin mempunyai hampir seribu ekor ular.

“Populasi ular yang tinggi di Bangkok adalah disebabkan penduduknya tidak memakan ular, bermakna ular tidak mempunyai pemangsa di bandar raya itu.

“Namun sumber makanan reptilia itu seperti ayam, anjing dan kucing sangat mudah ditemui di kawasan kediaman penduduk yang menjadi daya tarikan ular masuk ke kawasan manusia,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI