fbpx

Kebolehpasaran graduan politeknik, kolej komuniti meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainab (tengah) dan Mohd. Zahari (kiri) menyampaikan diploma kepada seorang graduan Dual Certification Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM pada majlis konvokesyen itu.

SHAH ALAM – Kebolehpasaran graduan Politeknik dan Kolej Komuniti kembali meningkat serta mendapat permintaan tinggi pemain industri selepas pandemik Covid-19.

Peluang pekerjaan perlu dipenuhi graduan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu seperti bidang teknologi, pembuatan, kejuruteraan mekanikal dan elektronik.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad berkata, graduan daripada 36 politeknik dan 104 kolej komuniti di seluruh negara tersedia bagi memenuhi kehendak dan pasaran industri tempatan.

Kata beliau, pandemik sejak dua tahun lalu diakui mengehadkan peluang pekerjaan oleh industri yang terpaksa mengecilkan operasi dan jumlah pekerja.

“Namun, kini semua pemain industri dan syarikat mula kembali mencari graduan kita yang berkemahiran tinggi dalam TVET.

“Ini membuktikan bahawa graduan politeknik dan kolej komuniti berkemampuan penuh memenuhi kehendak industri sama ada dari dalam atau luar negara,”,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-23 di sini, hari ini.

Pada konvokesyen selama dua hari itu, seramai 1,684 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil dalam bidang kejuruteraan awam, mekanikal, elektrik dan perdagangan.

Selain itu, Zainab turut merasmikan Pusat Inovasi dan Pengkomersilan JPPKK di politeknik berkenaan.

Tambah Zainab, peluang sedia ada perlu direbut sebaik mungkin semua graduan bagi merealisasikan impian kerjaya masing-masing.

“Kita juga perlu terus bersaing dengan modal insan negara lain seperti Indonesia dan Vietnam.

“Selain berkemahiran, graduan kita mempunyai kelebihan kerana mampu berbahasa Inggeris yang menjadi salah satu keperluan utama industri ketika ini,” ujarnya. .

Sementara itu, Pengarah PSA, Dr. Mohd. Zahari Ismail berkata, kebolehpasaran graduan politeknik berkenaan kekal memberangsangkan dan kini pada tahap 94.7 peratus termasuk menceburi bidang keusahawanan.

“Permintaan industri bagi graduan PSA terus positif dan sentiasa ada terutama dalam kejuruteraan mekanikal, elektrik dan perdagangan,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI