fbpx

Pertembungan ‘derby’ Kelantan berakhir seri 1-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengadil terpaksa menghentikan perlawanan selepas berlaku pertengkaran antara pemain KUFC, Nik Akif Syahiran (kiri) dan pemain TRW pada aksi penutup saingan Liga Premier di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Perlawanan penutup tirai Liga Premier musim ini membabitkan dua pasukan dari Kelantan iaitu Kelantan FC menentang Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi berakhir dengan keputusan seri apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan FC dinobatkan sebagai naib juara Liga Premier 2022 manakala KUFC di tangga kelima.

Pertembungan ‘derby’ Kelantan di hadapan 8,083 penyokong itu berlangsung dalam cuaca hujan sehingga memaksa kedua-dua pasukan bermain di dalam padang becak sekali gus menjejaskan rentak perlawanan.

Kelantan FC atau The Red Warriors (TRW) mendapat peluang keemasan untuk membuka jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti apabila pemainnya dijatuhkan di dalam kotak penalti pada minit ke-34.

Peluang tersebut tidak disia-siakan oleh penyerang Kelantan FC, Nur Shamil Abd. Ghani yang tenang menyempurnakan sepakan kira-kira dua minit kemudian.

KUFC hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-40, namun penjaga gawang TRW, Ahmad Solehin Mamat bertindak pantas menepis bola tersebut sebelum kedudukan kekal 0-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, KUFC berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-54 melalui jaringan Mohamad Amirul Shafik Che Soh yang berjaya menghukum kealpaan barisan pertahanan TRW.

Lebih panas, pertembungan itu dicemari dengan aksi pergaduhan pemain kedua-dua pasukan pada minit-minit akhir sehingga mengakibatkan perlawanan tergendala selama lima minit.

Insiden tersebut menyebabkan ayam tambatan KUFC, Nik Akif Syahiran dan pemain TRW, Muhaimin Izuddin Muhammad Asri dilayangkan kad merah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI