fbpx
Lokasi nahas membabitkan seorang lelaki warga Nepal yang maut di Kilometer 82, Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang semalam. - Foto IHSAN POLIS

Lelaki warga Nepal maut, motosikal bertembung kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seorang lelaki warga Nepal maut selepas motosikal yang ditunggangnya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 82, Jalan Gua Musang-Lojing di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, mangsa berusia dalam lingkungan 30-an yang masih belum dikenal pasti identitinya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Demak dari arah Cameron Highlands ke Gua Musang.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 47 tahun.

“Insiden itu menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan raya dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Choon Foo, pemandu kereta jenis Perodua Myvi itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

POPULAR