fbpx

Kerajaan bakal lupus hutang peserta Felcra bernilai RM230 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir (tiga dari kiri) menyampaikan zakat kepada pelajar sekolah pada Program Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia Felcra Berhad 2022 di Padang Kampung Batu Karang, Pasir Mas, hari ini. - Foto ROSMIZAN RESDI

PASIR MAS – Kerajaan dijangka akan memuktamad dan melupuskan hutang tertunggak sebanyak RM230 juta melibatkan seramai 20,000 peserta Felcra dalam masa terdekat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, masalah tunggakan hutang itu membabitkan kos pembangunan, proses menanam pokok, membuat pagar dan sebagainya yang dilakukan oleh peserta Felcra sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, Felcra sebelum ini sentiasa memberi ruang kepada peserta untuk membuat pembayaran hutang secara bulanan mengikut hasil pendapatan mereka.

“Felcra juga tidak menetapkan jumlah yang perlu dibayar. Kebanyakan hutang ini sudah lama sehingga membabitkan beberapa generasi mereka, malah ada dalam kalangan peserta sudah meninggal dunia.

“Jadi, kita sedang memuktamadkan untuk melupuskan hutang sebanyak RM230 juta itu. Kita akan putuskan masa yang sesuai sebelum mengumumkannya secara rasmi,” katanya pada sidang akhbar di Program Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia Felcra Berhad 2022 di Padang Kampung Batu Karang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Mahdzir, masalah itu akan menyebabkan generasi seterusnya akan turut mengalami masalah yang sama sekiranya hutang berkenaan tidak dilupuskan.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai ancaman harimau di penempatan orang asli di Gua Musang, beliau berkata, pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, kita tidak mempunyai laporan penuh mengenai perkara tersebut, namun ia adalah di bawah bidang kuasa Jakoa dan Perhilitan.

“Oleh itu, biar dua jabatan itu mengambil tindakan kerana ia merupakan bidang kuasa mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI