fbpx

Taman eko-rimba Terengganu ditutup operasi mulai 1 November depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lata Payung, Setiu antara kawasan rekreasi dalam taman eko-rimba dan hutan simpan di Terengganu yang ditutup sepanjang musim tengkujuh ini.

KUALA TERENGGANU – Semua taman eko-rimba dan laluan pendakian dalam hutan simpan kekal di Terengganu akan ditutup sementara bagi sebarang aktiviti termasuk rekreasi bermula 1 November depan.

Penolong Pengarah Hutan Lipur Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Zaida Zakaria berkata, penutupan selama empat bulan berikutan monsun Timur Laut itu demi menjaga keselamatan pengunjung.

“Taburan hujan dijangka semakin kerap dan agak tinggi malah fenomena kepala air juga boleh berlaku tanpa diduga sepanjang monsun Timur Laut nanti.

“Oleh itu, orang ramai diharap dapat mematuhi larangan ini yang bakal berkuatkuasa bermula 1 November hingga 28 Februari depan,” katanya di sini hari ini.

Tujuh taman eko-rimba di Terengganu yang sering menjadi tumpuan pengunjung ialah Taman Eko-Rimba Air Menderu, Chemerong, Lata Belatan, Lata Payung, Lata Tembakah, Sekayu dan Bukit Bauk.

Zaida berkata, sepanjang tempoh berkenaan, semua aktiviti bagi tujuan rekreasi, seperti berkhemah, menyelusuri denai hutan, menaiki pacuan empat roda atau motosikal lasak di dalam hutan simpanan kekal di Terengganu adalah tidak dibenarkan.

Jelas beliau, Jabatan Perhutanan Terengganu juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di semua kawasan terbabit bagi mengelak berlakunya sebarang pencerobohan sepanjang musim tengkujuh kelak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI