TIADA hati yang tidak akan cair melihat Jackson Wang, penyanyi K-pop yang sedang mendadak popular di peringkat antarabangsa.
Berbekalkan wajah tampan, gaya fesyen ikonik, karya muzik berkualiti dan sikap membumi melengkapkan pesona Jackson sebagai bintang kegilaan.
Ironinya, kemasyhuran dan empayar yang dimiliki Jackson tidak hadir dengan mudah. Semuanya terhasil daripada usaha kerasnya sebagai anak seni selama lapan tahun bermula dengan menganggotai kumpulan GOT7.
Jackson mula menarik perhatian ramai apabila muncul dengan single solo Papillon pada 2017 dan album solo Mirror (2019) yang berjaya menduduki tangga ke-32 carta Billboard 200 di Amerika Syarikat (AS).
Pesona Jackson sebagai penyanyi, penerbit, pereka fesyen dan usahawan semakin menyinar apabila mula bergerak secara solo selepas meninggalkan label JYP Entertainment.

Sudah terbiasa bekerja secara berkumpulan, perubahan haluan seni secara solo memberi tekanan kuat sehingga Jackson mengalami depresi dan kebimbangan melampau (anxiety disorder) selama dua tahun.
“Sepanjang lapan tahun menjadi penyanyi, saya tidak bercuti dan berehat panjang. Saya bimbang, jika saya berehat, adakah saya akan kembali semula dalam industri atau terus menjadi malas?
“Jadi, saya terus bekerja walaupun ketika itu kesihatan mental tidak berada dalam keadaan baik.
“Perubahan suasana berkerja, saripada berkumpulan menjadi solo, tiada rehat, sentiasa bergerak dari satu acara ke acara lain, ulang alik antara China dan Korea Selatan menyebabkan saya seperti hilang diri sendiri,” ujarnya.
Tambah bekas atlet lawan pedang itu, antara faktor depresi yang dialami bertambah parah adalah sikapnya yang tidak pernah berkongsi masalah dengan orang lain.
“Saya tidak pernah percaya untuk meluahkan masalah kepada orang lain.

Magic Man
“Biasanya saya akan selesaikan masalah sendiri. Bagi saya untuk apa bercerita dengan orang kerana pada akhirnya itu adalah masalah saya sendiri bukannya orang lain,” luah Jackson.
Masalah depresi tersebut berjaya diatasi selepas Jackson mula berbagi hati bersama kru dan pasukannya dalam sebuah sesi luahan.
Seperti magis, hanya dengan kata-kata jujur dan positif, segala beban yang ditanggungnya hilang begitu sahaja. Situasi tersebut secara tidak langsung memberi inspirasi terhadap penghasilan album terbaharunya, Magic Man.
“Saya mengalami saat sukar hampir dua tahun dengan kerja, kehidupan dan semuanya. Magic Man tentang saya meninggalkan semua perkara masa lalu dan terus maju ke depan dengan diri saya yang baharu,” luahnya tentang album yang dikeluarkan pada 9 September lalu.
Menyambung bicara tentang album terbaharunya yang mengandungi 10 buah lagu, termasuk, Blow dan Just Like Magic, semuanya ibarat satu permulaan baharu buat Jackson.
Masakan tidak, ketika bersama kumpulan GOT7, pemuda berusia 28 tahun itu berada di posisi rapper dan tiada pengalaman sebagai vokalis.
“Saya terlibat dalam muzik selama lapan tahun dan sehingga kini masih belajar banyak benda baharu. Cumanya saya tidak biasa menyanyi sebaliknya hanya rap itulah posisi yang diberi kepada saya.
“Sepanjang bersama GOT7 saya tidak menghadiri kelas vokal.

“Ketika bersama JYP Entertainment, saya dilatih sebagai penari dan rapper. Saya juga dilatih dalam seni mempertahankan diri tetapi bukan dari segi vokal,” imbasnya.
Sejak bergerak solo dan atas sokongan orang sekelilingnya, Jackson mula memberanikan diri mencuba banyak perkara baharu, terutama muzik.
“Adakalanya saya sendiri terkejut dengan diri sendiri. Selepas berlatih tanpa lelah, saya berjaya mengatasi segala halangan dan menjadi Jackson Wang hari ini,” tutur Jackson.
Menerusi Magic Man, perjalanan muzik Jackson kembali rancak, termasuklah kembali menjelajah seluruh dunia.
“Ikutkan hati, saya teringin melakukan konsert jelajah, tetapi saya tidak tahu jika ada orang hendak datang ke konsert saya.
“Buat masa ini, belum ada perancangan dan perlukan masa. Saya berharap dapat lakukannya secepat mungkin,” kata Jackson.

Empayar
Selain karier nyanyian, Jackson juga merupakan pemilik label muzik Team Wang dan jenama pakaian Team Wang Design. Menjadi pereka fesyen bukanlah satu perkara baharu buat Jackson.
“Bermula sekitar lima tahun lalu, sehingga kini Team Wang Design sudah berkolaborasi dengan banyak jenama terkenal dunia antaranya Fendi, Palm Angels dan Adidas.
“Semasa kecil saya seorang yang berbadan gempal. Jadi apabila dewasa saya sentiasa menjaga diri dengan baik seperti bersenam dan melakukan pilates untuk kekalkan bentuk badan supaya dapat meneroka pelbagai peluang baharu.
“Bidang muzik dan fesyen memerlukan visual menarik, jadi saya berusaha keras. Saya berharap mereka yang memakai rekaan saya dapat merasai keyakinan diri serta nilai positif,” ujarnya.
Bertutur lanjut tentang empayarnya yang semakin berkembang, kongsi Jackson kehidupan hanya sekali.
“Tidak kira dalam muzik, fesyen atau kehidupan peribadi, saya sentiasa melakukan perkara yang menggembirakan.
“Saya percaya jika kita melakukan sesuatu yang disukai, secara automatik orang lain turut merasai aura sama,” katanya yang juga seorang komposer.

Jadual seni Jackson semakin padat apabila kembali membuat kemunculan semula bersama GOT7 menerusi album mini berjudul GOT7 pada 23 Mei lalu.
Kemunculan semula bersama GOT7 selepas penamatan kontrak bersama JYP Entertainment pada Januari 2021 hadir dengan semangat dan muzik baharu.
“Kami sudah melalui masa yang indah dan gelap. Kami sudah terbiasa menyayangi dan menbenci antara satu sama lain tanpa henti, seperti sebuah keluarga.
“Bergabung semula sebagai GOT7 sangat menyeronokkan. Ini bukan tentang perniagaan atau muzik, tetapi sebuah keluarga,” kata Jackson.














