fbpx
HAIRUL AZREEN dan Hanis Zalikha berkongsi saat manis membawa para pekerja mereka naik pesawat untuk bercuti.

Hairul Azreen, Hanis, belanja pekerja bercuti naik pesawat khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Selepas melayari percutian mewah menaiki helikopter dan kapar layar, pasangan selebriti terkenal Hairul Azreen dan Hanis Zalikha sekali lagi mencuri tumpuan netizen apabila menyewa sebuah kapal terbang khas bagi membawa pekerja mereka bercuti di sebuah pulau peranginan.

Menerusi video yang dimuat naik dalam TikTok milik Hairul, pasangan itu dilihat membawa bersama para pekerja untuk bercuti ke Pulau Redang, Terengganu baru-baru ini.

“Bawa satu kapal terbang pasukan Cakenis (jenama fesyen milik Hanis Zalikha) ke Pulau Redang,” tulis Hairul.

Dalam video tersebut, Hairul, 33, turut berbagi momen suasana di dalam kapal terbang yang disewa khas untuk membawa pekerjanya bercuti ke Pulang Redang dalam suasana yang begitu gembira.

Perkongsian itu sekali gus menarik perhatian peminat mereka apabila turut berasa teruja untuk sama-sama mengikuti percutian yang dianjurkannya.

Meninjau dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya mahu turut serta dalam percutian tersebut memandangkan masih terdapat banyak tempat duduk yang kosong dalam kapal terbang yang disewa khas itu.

“Bang, tempat duduk banyak kosong. Ruginya,” ujar seorang pengguna TikTok.

“Tempat duduk banyak kosong lagi tu bang. Ruginya. Lain kali ajaklah saya,” komen seorang peminatnya.

Bahkan, ramai juga pengikut pelakon filem Paskal itu menawarkan diri untuk menjadi pengasuh kepada anak keduanya, Alisa yang kini berusia tiga tahun dengan harapan supaya dapat mengikuti percutian sebegitu pada masa akan datang.

“Bang, perlu orang suapkan Alisa makan tak? Saya boleh buat,” kata seorang pengguna TikTok.

“Kalau nak berbulan madu, saya ada sediakan perkhidmatan menjaga budak (pengasuh),” kata seorang lagi peminatnya.

“Bang kalau perlukan tukang ikat rambut Alisa bagitahu ya,” komen seorang lagi pengikutnya.

Dalam ruangan komen juga, rata-rata netizen mendakwa kapal terbang yang disewa khas Hairul bersama Hanis untuk bercuti adalah milik ahli perniagaan terkenal negara, Tan Sri Vincent Tan berdasarkan perkataan ‘Berjaya’ pada ekor pesawat yang merujuk pada syarikat hartanah, Berjaya Corporation Berhad miliknya.

Sekadar info, pada Oktober tahun lalu, Hairul sekeluarga berkongsi saat percutiannya di atas kapal layar mewah milik Vincent yang ditemui secara tidak sengaja ketika bercuti di Pulang Redang.

Menariknya, difahamkan Hairul sekeluarga telah bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Redang dengan menaiki sebuah helikopter yang ditempah khas untuk membawa keluarganya ke sana.

Selepas dibawa menaiki kapal layar mewah, pasangan selebriti popular itu sekali lagi menjadi tetamu Vincent apabila berpeluang menikmati percutian dengan menaiki jet peribadi miliknya pada awal Januari lalu.

Pada Ogos baru-baru ini, Hairul dan Hanis telah membawa anak-anaknya menaiki helikopter ketika meninjau sebuah kawasan pergunungan bersalji ketika bercuti ke luar negara. Dalam perkongsian tersebut, netizen menebak lokasi percutian mereka adalah di New Zealand. – KOSMO! ONLINE

POPULAR