fbpx

4 wilayah Ukraine setuju sertai Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki membuang undi ketika proses referendum diadakan di sebuah pusat mengundi di Mariupol, Ukraine, kelmarin. – AFP

MOSCOW – Penduduk empat wilayah selatan Ukraine iaitu Donetsk dan Lugansk (Donbas) bersama Kherson serta Zaporizhzhia  memilih menyertai negara Persekutuan Russia dalam keputusan pungutan suara yang berlangsung sejak 23 September lalu dan berakhir kelmarin, lapor laman berita RT.

Di Lugansk, lebih 98 peratus pengundi menyokong cadangan untuk menyertai Russia, demikian menurut data rasmi selepas undian dikira.

Donetsk menunjukkan keputusan serupa dengan lebih 99 peratus pengundi menyokong langkah tersebut. Wilayah Kherson dan Zaporizhzhia yang menamatkan proses pengiraan undi lewat kelmarin, masing-masing mencatatkan 93 peratus dan 87 peratus undi menyokong menyertai Russia.

Proses mengintegrasikan kesemua wilayah baharu itu ke dalam negara Russia mungkin mengambil masa agak lama kerana memerlukan kelulusan Parlimen serta Presiden Vladimir Putin. Bagaimanapun,  jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov  berkata pada Jumaat lalu bahawa penyertaan keempat-empat  wilayah Ukraine itu akan disegerakan.

Di bawah perlembagaan dan undang-undang Russia, penyertaan empat wilayah itu akan melibatkan beberapa langkah.

Sebaik sahaja wilayah terbabit bersetuju menyertai Persekutuan Russia dan menghantar kertas cadangan kepada Moscow, Presiden negara itu perlu memaklumkan kepada Parlimen mengenai perkara tersebut, kata Senator Konstantin Kosachev menerusi hantaran dalam  aplikasi Telegram minggu lalu.

Tambah beliau, sekiranya perjanjian politik mengenai penyertaan dicapai, draf perjanjian antarabangsa mengenai kemasukan negara asing atau sebahagian daripadanya ke dalam Russia perlu disediakan.

“Perjanjian tersebut akan menggariskan isu seperti nama dan status wilayah baharu berkenaan, kewarganegaraan, pewarisan, fungsi pihak berkuasa awam, operasi perundangan dan pelbagai lagi,” kata Kosachev.

Selepas perjanjian mengenainya ditandatangani, Mahkamah Perlembagaan Russia perlu mengesahkan sekiranya ia mematuhi undang-undang tertinggi negara.

Sekiranya tiada pelanggaran undang-undang berlaku, langkah seterusnya adalah pengesahan oleh Duma Russia(Parlimen) dan kelulusan Dewan Tinggi serta  Majlis Persekutuan Russia.

“Undang-undang ini akan berkuatkuasa tidak lebih awal dari mula berkuatkuasanya perjanjian antarabangsa itu sendiri,” kata Kosachev.

Moscow sebelum ini memberi amaran sekiranya keempat-empat wilayah tersebut bersatu dengan Russia, Kremlin akan menganggap sebarang cubaan oleh Kiev untuk merampas semula rantau itu sebagai serangan ke atas tanah milik Russia.

Bagaimanapun, Kiev menganggap persetujuan empat wilayah terbabit menyertai Russia sebagai tidak sah dan penipuan bahkan, Ukraine tidak akan mengiktiraf keputusan referendum tersebut.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut menolak sebarang perbincangan selepas pungutan suara itu diadakan.

Sementara itu, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menggelar referendum tersebut sebagai ‘palsu’.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken memberitahu stesen penyiaran CBS Ahad lalu bahawa Donetsk, Lugansk, Kherson dan Zaporizhzhia tidak akan diiktiraf sebagai sebahagian daripada wilayah Russia. 

Tegas beliau, Kiev mempunyai hak untuk merampas kembali semua wilayah tersebut. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI