fbpx
Beberapa model memperagakan pakaian masing-masing serta aksesori yang dipakai di pekarangan Masjid Agung Ciamis. – TikTok

Pertunjukan fesyen di pekarangan masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Sebuah acara pertunjukan fesyen di Ciamis, Jawa Barat menjadi sasaran kecaman netizen kerana menjadikan pekarangan masjid sebagai ‘pentas’ peragaan, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Berdasarkan video yang tular, sekumpulan lelaki dan wanita dilihat berkumpul di halaman Masjid Agung Ciamis untuk melakukan pertunjukan fesyen, Ahad lalu.

Mereka berjalan sambil memperagakan pakaian dan aksesori masing-masing. Beberapa individu lain pula dilihat sibuk merakam gambar pertunjukan tersebut.

Selepas video itu dimuat naik di laman TikTok dan Instagram, ia menerima kecaman hebat dengan ramai netizen menganggap perbuatan itu sebagai tidak menghormati kesucian masjid yang merupakan tempat ibadat orang Islam.

Susulan itu, Ketua Jurusolek (MUA) Community Ciamis, Santi Novianti tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa pertunjukan fesyen itu dilakukan secara spontan.

“Kami meminta maaf daripada seluruh penduduk Ciamis terutamanya pihak Dewan Kesejahteraan Masjid (DKM) dan para ulama.

“Tidak ada unsur sengaja (pertunjukan fesyen), semuanya di luar jangkaan kami. Tiada juga niat kami untuk sengaja menjadi tular,” katanya.

Sementara itu, Ketua DKM Masjid Agung Ciamis, KH Wawan S Arifin berkata, pihaknya akan memberikan hukuman kepada penganjur acara itu.

“Hukumannya adalah mereka diwajibkan mengikuti pembelajaran di Masjid Agung Ciamis dua minggu sekali, setiap petang Ahad,” ujarnya.

Tambah Wawan, kejadian itu berlaku akibat kelalaian pihak penganjur kerana mereka pada awalnya mengadakan acara tersebut di Alun-alun Ciamis.

“Bagaimanapun, ia secara tiba-tiba beredar ke pekarangan masjid,” kata Wawan. – Agensi 

POPULAR