fbpx
BARISAN pemain Malaysian Tigers giat menjalani latihan menjelang aksi pertama Jelajah Eropah menentang Belgium A di Sportcentrum Wilrijkse Plein, Antwerp hari ini.

Malaysian Tigers adaptasi permainan ala Eropah di Belgium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj menuntut para pemainnya agar cepat menyesuaikan diri selepas turun menjalani sesi latihan pertama di Brussels, Belgium semalam.

Arul mengharapkan anak-anak buahnya dapat memperlihatkan hasil kerja keras selama dua bulan setengah menjelang aksi pertama Jelajah Eropah menentang Belgium A di Sportcentrum Wilrijkse Plein, Antwerp hari ini.

“Para pemain mula menyesuaikan diri selepas perjalanan selama 24 jam dan dua hari di sini. Latihan pertama lebih kepada larian berkelajuan tinggi dan pukulan sudut penalti.

“Saya mahu pemain serasikan diri dengan pantas cara permainan ala Eropah. Sekarang adalah masa untuk uji diri sendiri dan melihat sejauh mana tahap kemampuan mereka.

“Saya mahu melihat kemampuan dari segi fizikal dan mental serta cara mereka berfikir atas padang untuk bermain dengan salah sebuah pasukan hebat di Eropah,” katanya.

Walaupun bertemu Belgium A tetapi Malaysian Tigers tidak boleh mengambil mudah kerana kebanyakan pemain dari negara ranking No.2 dunia itu sudah didedahkan dengan permainan hoki berintensiti tinggi di sekitar Eropah.

Selepas itu, barulah skuad negara akan merasai Belgium sebenar yang muncul juara Piala Dunia 2018 dan Sukan Olimpik 2020 untuk perlawanan kedua esok.

Dua baki perlawanan seterusnya dalam Jelajah Eropah menyaksikan skuad negara bertemu Perancis di Stadium Waterloo, Brussels pada 4 dan 5 Oktober depan.

Siri Jelajah Eropah merupakan langkah persediaan Malaysian Tigers sebelum menghadapi Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India bermula 13 hingga 29 Januari tahun depan.

Ia juga dilihat antara persiapan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada 1 November depan dan Piala Negara-Negara FIH di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember nanti.

POPULAR