fbpx

Malaysia dan UAE setuju tingkatkan hubungan sedia ada – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri.

PUTRAJAYA – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada kedua-dua negara kepada ‘Perkongsian Strategik’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hubungan dua hala Malaysia dan UAE juga terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin baharu tertinggi UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Istana Presiden di ibu kota Abu Dhabi.

“Saya dan Yang Mulia Sheikh Mohamed membincangkan beberapa perkembangan arena serantau dan antarabangsa serta bertukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama,” katanya menerusi satu hantaran di laman media sosial hari ini.

Menurut Ismail Sabri, perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat sebanyak 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).

“Dengan data untuk tempoh lapan bulan ini, tahun 2022 dijangka mencatatkan rekod nilai perdagangan tertinggi,” ujar beliau.

Tambah Perdana Menteri, beliau turut melahirkan harapan agar UAE memainkan peranan aktif dalam mengetengahkan isu-isu antarabangsa demi keamanan serantau.

“Sebagai ahli bukan tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baharu, UAE diharap memainkan peranan aktif dalam mengetengahkan isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan Myanmar (pelarian Rohingya) dan lain-lain demi keamanan serantau.

“Semoga hubungan persaudaraan Malaysia dan UAE terus mekar dan berkekalan bagi faedah rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri tiba di UAE semalam bagi bertemu dengan Sheikh Mohamed bersempena lawatan kerja beliau ke negara itu.

Ia merupakan pertemuan kali pertama di antara kedua-dua pemimpin tersebut setelah pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden UAE ketiga pada 14 Mei lalu bagi menggantikan kekandanya, Almarhum Sheikh Khalifa Zayed Sultan Al Nahyan.

UAE merupakan destinasi eksport kedua terbesar selain sumber import kedua paling besar bagi Malaysia dalam kalangan negara-negara di rantau berkenaan sepanjang tahun lepas.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI