fbpx
RIZALMAN (tengah) bergambar bersama sukarelawan yang mengutip sampah sepanjang Pantai Batu Laut, Banting baru-baru ini.- ABDUL RAZAK IDRIS

Bersih alam sekitar tugas semua orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJAGA kebersihan perlu menjadi sebahagian daripada rutin hidup seseorang, terutamanya orang Islam kerana ia mencerminkan jati diri mereka.

Atas kesedaran itulah, bertempat di Pantai Batu Laut, Banting baru-baru ini, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menganjurkan program mengutip sampah yang melibatkan 200 sukarelawan.

Mereka digelar Sukarelawan Hero Kebersihan.

Program bersempena World Cleanup Day 2022 itu melibatkan kakitangan SWCorp, pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), komuniti setempat, wakil Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan agensi kerajaan.

Penglibatan pelbagai pihak itu diharap dapat menyuntik semangat menjaga alam sekitar dalam diri peserta terlibat.

Ia selaras dengan objektif Dasar Kebersihan Negara iaitu meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat.

Program tersebut juga untuk menerapkan dalam diri orang ramai bahawa kebersihan persekitaran bukan kerja satu pihak sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab bersama.

Menurut Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar, World Cleanup Day merupakan program sedunia melibatkan pembersihan kawasan dengan hasrat untuk menangani masalah sisa pepejal termasuk sisa di kawasan laut dan pantai.

“Komponen utama sambutan ini adalah aktiviti pembersihan kawasan dan audit sisa.

“Pembersihan melibatkan lokasi seperti kawasan awam, tempat rekreasi, taman perumahan, institusi pendidikan dan mana-mana lokasi bersesuaian dan menepati keperluan untuk pelaksanaan program ini.

“Manakala audit sisa merupakan satu komponen penting dalam World Cleanup Day, yang mana sisa yang dikutip akan diasingkan mengikut kategori bagi mengenal pasti jenis sisa paling banyak dibuang merata-rata,” katanya ketika ditemui Kosmo!

Rizalman berkata, untuk rekod, program seumpama itu diadakan bermula dari 17 September hingga 25 September lalu di 328 lokasi yang didaftarkan oleh 284 agensi penganjur.

Katanya, sebanyak 408 aktiviti dijadualkan seperti membersihkan tempat rekreasi, pantai, tebing-tebing sungai dan lain-lain kawasan di tujuh negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pahang, Kedah dan Perlis.

“Sehingga kini, Sukarelawan Hero Kebersihan yang berdaftar seramai 27,361 orang.

“Kesemua mereka akan digerakkan di setiap negeri melibatkan program pembersihan,” ujarnya.

RIZALMAN (kiri) turut sama mengutip sampah bagi memupuk kesedaran menjaga alam sekitar.

Rizalman berkata, sukarelawan tersebut berjaya mengutip sebanyak 377 kilogram (kg) sampah.

Jelasnya, terdapat 18 jenis sampah yang diasingkan oleh sukarelawan termasuk bahan plastik, kertas, pelitup muka, puntung rokok dan lain-lain.

“Daripada jumlah itu, sebahagian besar iaitu 150kg sampah adalah barangan plastik.

“Jadi kita harapkan melalui program ini, ia akan menjadi satu budaya baharu dalam masyarakat untuk terus mengamalkan kebersihan.

“Kita mahu masyarakat atau sukarelawan berdaftar bukan sahaja membantu bersihkan kawasan, tetapi juga menegur pihak yang suka membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

“Dari segi matlamat program pula, ia bukan sahaja dapat mengumpul sisa, tapi kita audit untuk memahami dari segi trend dan jenis sampah yang biasa dibuang oleh orang ramai,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaian Sukarelawan Hero Kebersihan tersebut beliau berkata, purata setiap seorang sukarelawan mengutip 2.5kg sampah.

Ujarnya, kalau setiap rakyat Malaysia dapat mengamalkan kebersihan bukan sahaja di pantai dan di mana-mana tempat, ia secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti kebersihan alam sekitar.

“Program ini bukan bersifat one-off dan berharap ia dapat terus dilaksanakan pada masa depan.

“Untuk itu, kita terbuka dengan mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang ingin bersama kita dalam hal ini,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN