fbpx
Ketua Jabatan Saluran Dan Pengedaran Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil menandatangani plak perasmian di majlis pelancaran Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai, Kolej Tingkatan Enam Pontian di Johor, hari ini.

Agrobank lancar kafe dan koperasi tanpa tunai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Agrobank melancarkan Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai yang pertama seumpamanya di Kolej Tingkatan Enam Pontian, Johor dalam usaha mempromosikan ilmu pengurusan kewangan dan menggalakkan pendigitalan dalam urus niaga tunai harian dalam kalangan pelajar.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program itu menyemai budaya pengurusan wang yang betul agar golongan muda lebih bersedia dan bijak mengurus kewangan mereka.

“Pelajar dan warga kerja kolej kini hanya perlu mengimbas kod respons pantas (QR) di kafe atau koperasi menggunakan telefon pintar mereka ketika membuat pembayaran di kantin atau di koperasi yang memudahkan urusan jual beli kerana pelajar dan pengusaha tidak perlu menyediakan wang kecil atau wang baki.

“Bagi peniaga atau pengusaha kafe pula, wang hasil perniagaan harian akan didepositkan terus ke dalam akaun yang membantu usahawan memantau rekod kewangan secara dalam talian serta mempunyai pengurusan akaun lebih teratur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Koperasi Kolej Tingkatan Enam Pontian turut dilantik sebagai ejen Agrobank, atau AgroAgent yang berfungsi seperti bank kecil di dalam kolej bagi melaksanakan urusan perbankan seperti mendeposit dan mengeluarkan wang.

“Pelajar dan warga kerja kolej kini tidak lagi perlu ke cawangan bank untuk menjalankan urusan akaun. Mereka juga boleh membuat pembayaran bil-bil utiliti dan menambah nilai prabayar (prepaid) telefon mereka menerusi AgroAgent ini,” katanya.

Secara keseluruhan, seramai 370 pelajar dan warga kerja kolej berkenaan telah membuka Akaun Simpanan Asas-i bagi membolehkan mereka mengikuti Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai Agrobank. – KOSMO! ONLINE

 

POPULAR