fbpx

Mahkamah: Saya tiada akses kepada Najib Razak – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai kanan Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak mempunyai akses langsung kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyuarakan kebimbangan berhubung projek usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Aabar Investment BVI Co.

Bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA), Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa berkata, beliau juga tidak boleh melangkaui pegawai atasannya dan mengadu kepada bekas Perdana Menteri mengenai cadangan projek usaha sama itu yang disifatkannya dilakukan secara tergesa-gesa.

Ujar saksi pendakwaan ke-26, projek usaha sama berkenaan adalah satu-satunya pelaburan yang membabitkan transaksi tidak normal pernah ditemuinya sepanjang 25 tahun berkhidmat di Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, kajian mengenai aliran tunai dalam kertas cadangan itu tidak dilakukan dengan sewajarnya selain perlu mengemukakannya kepada Kabinet pada hari sama.

Ujar saksi pendakwaan ke-26 itu, maklumat yang diperolehi daripada 1MDB sangat terhad dan buat pertama kalinya unjuran aliran tunai tidak dibuat.

“Amat penting untuk diteliti bahawa pelaburan ini menghasilkan keuntungan untuk membayar balik pinjaman,” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Siti Zauyah turut ditanya oleh Sri Ram mengapa beliau tidak mengadu terus kepada Najib mengenai tindakan 1MDB yang memaklumkan kepadanya bahawa syarikat pelaburan itu hanya berurusan dengan Perdana Menteri berhubung operasi dan hal ehwal syarikat.

Ujar beliau, tindakan membuat aduan secara terus kepada Perdana Menteri bukan menjadi amalan penjawat awam.

Siti Zauyah berkata, beliau membangkitkan perkara mengenai kertas cadangan itu kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, namun Ahmad Husni memberitahunya bahawa beliau (Ahmad Husni) tidak mahu terbabit dengan isu berkenaan.

Dalam keterangan sebelum ini, saksi memberitahu mahkamah, 1MDB perlu mendapatkan Surat Sokongan (LOS) daripada kerajaan untuk mengumpul dana AS$3 bilion bagi tujuan projek usaha sama dengan dengan Aabar Investment BVI Co.

Sri Ram turut menyoal saksi mengenai keterangan sebelum ini bahawa beliau ada memaklumkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah mengenai keperluan mendapatkan butiran lanjut daripada 1MDB.

Namun saksi menyatakan, beliau bagaimanapun diarahkan terus memproses kertas cadangan bagi mendapatkan surat sokongan.

Disoal apakah tanggapannya daripada kenyataan Mohd. Irwan yang menyatakan perkara itu mustahak dan adalah arahan PM, saksi berkata beliau beranggapan ia satu arahan.

Katanya, kertas cadangan mengenai keperluan 1MDB untuk mendapatkan surat sokongan disediakan oleh Kementerian Kewangan dan dibentangkan di Kabinet sebelum diluluskan Jemaah Menteri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI