fbpx

30 wartawan sambilan Melaka terima caruman percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Razak (kanan) dan Hee Sem (kanan) menyampaikan replika cek kepada salah seorang pengamal media sambilan di Melaka.

MELAKA – Seramai 30 pengamal media berstatus sambilan di negeri ini mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan manfaat perlindungan.

Pengarah Perkeso Melaka, Abd. Razak Omar berkata, caruman tersebut adalah di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang melayakkan mereka menerima faedah iaitu kos perubatan, hilang upaya sementara dan hilang upaya kekal.

Menurutnya, skim bernilai RM232 seorang selama setahun itu mendapat peruntukan sebanyak 80 peratus daripada Kementerian Kewangan, manakala baki bernilai RM46 pula merupakan sumbangan peribadi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

“Inisiatif Perkeso dengan kerjasama exco hari ini adalah sebagai menghargai jasa pengamal media, walaupun berstatus sambilan kerana mereka adalah cermin kami dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.

“Selain itu, kami ingin menyantuni golongan media di Melaka kerana mereka selama ini telah banyak bersama program-program yang dianjurkan Perkeso dan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perkeso Mendekati Media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambahnya, bagaimanapun faedah pencen ilat tidak termasuk dalam skim tersebut.

Abd. Razak berkata, keseluruhan tajaan khusus itu berjumlah RM6,984 bermula hari ini sehingga 27 September 2023.

“Sepanjang tempoh setahun, mereka dilindungi di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017,” ujarnya.

Sementara itu, Hee Sem berkata, beliau amat berbesar hati untuk menaja baki caruman tersebut kerana menghargai jasa dan sumbangan pengamal media terhadapnya dan kerajaan negeri.

“Pengorbanan media bersama saya tanpa mengira waktu siang dan malam amat saya hargai dan diucapkan ribuan terima kasih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI