fbpx

Perkeso rungkai masalah wanita kurang dalam tenaga kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman Aziz.

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merencana faedah tunai bersalin dan cuti menjaga anak ke dalam model insurans sosialnya untuk merungkai masalah wanita kurang mengambil bahagian dalam tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata usaha ini bagi mengurangkan beban kewangan majikan dan pekerja dalam berdepan keadaan melahirkan zuriat.

Ujarnya, prinsip pelaksanaannya adalah dengan mengagihkan kos yang terpaksa ditanggung apabila mendapat zuriat di kalangan pencarum Perkeso yang aktif dalam pasaran buruh.

“Dasar yang dicadangkan ini juga diumumkan oleh Kerajaan di bawah Belanjawan 2023, malah pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan sedang dalam semakan oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Ia untuk mewujudkan faedah cuti bersalin yang mapan, selari amalan diterapkan kebanyakan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Sebagai contoh, Vietnam, memberi tumpuan terhadap kesaksamaan jantina sejak Dasar Pembaharuan Ekonomi Doi Moi pada 1986, sekali gus melayakkan golongan wanita di negara tersebut mendapat manfaat enam bulan cuti bersalin dengan gaji penuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohammed Azman, kini adalah masa yang tepat untuk meningkatkan faedah bersalin dan cuti berbayar bagi menjaga anak untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja.

Ujarnya, pembaharuan ini membawa kepada langkah-langkah lebih taktikal seperti latihan dan perkhidmatan pekerjaan yang disesuaikan untuk menjamin kelancaran peralihan bagi wanita dalam tempoh berhenti sementara daripada pekerjaan kerana cuti bersalin.

“Malah, ini juga boleh menjadi permulaan untuk menangani pelbagai faktor yang didepani golongan wanita rentan dalam konteks lebih luas.

“Ia antara lain meliputi pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi golongan wanita daripada latar belakang berbeza seperti wanita OKU, bekas banduan, dan wanita di usia emas.

“Sempena Hari Wanita Sedunia pada bulan Mac, sudah tiba masanya untuk kita komited memajukan dasar dan amalan yang bukan sahaja membolehkan wanita untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam tenaga kerja tetapi juga mengukuhkan struktur ekonomi dan sosial Malaysia secara keseluruhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI