fbpx

Malaysia banyak terlepas peluang bernilai dalam industri halal global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Malaysia sudah terkenal menjadi hab halal masa kini. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Malaysia kini terkenal sebagai hab halal di pasaran antarabangsa dan antara faktor kejayaan tersebut adalah sumbangan daripada usaha berterusan Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan sokongan daripada agensi lain termasuk Matrade dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Antara program popular yang menaikkan nama negara adalah penganjuran Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) yang kini sudah masuk tahun ke-14 dan kelainan pada tahun ini, ia dijalankan di Australia pada awal September lalu sebagai usaha meluaskan lagi rangkaian, potensi, pasaran serta mendedahkan kepada lebih ramai kumpulan sasaran di luar Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, sudah tiba masanya HDC membuat pembaharuan untuk memberi nilai kepada pasaran halal khususnya untuk meningkatkan lagi penyertaan syarikat tempatan dalam industri bernilai tinggi ini.

Katanya, buat masa ini, daripada 200,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terlibat dalam industri halal, hanya 8,000 syarikat yang memiliki sijil halal, manakala syarikat tempatan yang berjaya menembusi pasaran eksport dan memiliki sijil halal adalah sebanyak 2,000 syarikat sahaja. Sehubungan itu, Malaysia sudah kehilangan banyak peluang berpotensi dalam industri halal.

“Bila sudah lama menjadi badan yang mempromosikan industri halal di pasaran global, maka ia akan hanya dianggap sebagai cheer leader sedangkan promosi mengenai industri bernilai tinggi.

“Tidak banyak syarikat berkembang dan nilai eksport dalam industri halal adalah antara RM30 bilion hingga RM40 bilion sedangkan pasaran di luar sana boleh mencecah sehingga AS$1.3 trilion (RM5.49 trilion),” katanya kepada Kosmo! dalam satu temu bual di pejabatnya di sini baru-baru ini.

KOSMO!: Selepas kejayaan WHBC apakah program lain yang telah dirancang HDC sehingga akhir tahun ini?
Hairol Ariffein: Kami akan meneruskan agenda pengantarabangsaan halal melalui kerjasama dengan perniagaan lain dan menggabungkan antara ekosistem industri halal Malaysia dengan negara lain kerana apa yang berlaku kini adalah networking kita dengan negara lain tidak aktif.

Malaysia dengan cara sendiri dan negara lain memilliki caranya tersendiri, menyebabkan kita saling tidak memahami sistem perniagaan halal yang dijalankan negara-negara tersebut.

Sehubungan itu, kita perlu memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan, maka akan terbuka pelbagai peluang untuk perdagangan, peluang pekerjaan berkualiti dan juga kita boleh buka pasaran halal kepada pasaran terbuka dengan seluasnya.

Bagaimana pula peran­cangan peringkat domestik?
HDC telah bekerjasama de­ngan Jakim untuk meningkatkan bilangan syarikat yang mendapatkan status halal.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 200,000 perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PMKS) terlibat dalam industri halal dan daripada jumlah tersebut, hanya terdapat 8,000 syarikat sudah mendapat status halal. Jadi terdapat baki 120,000 syarikat lagi yang kita tidak maksudkan ia haram tetapi kemungkinan besar tiada status halal atau mungkin dalam proses permohonan atau belum membuat permohonan status halal.

Adakah kesedaran mengenai pentingnya nilai indusri halal masih belum cukup tinggi dalam kalangan kumpulan sasaran ini?
Memang kesedaran itu sema­kin meningkat dalam kalangan PMKS dan ia sedang menunjukkan perkembangan yang baik.

PMKS kini menyumbang kira-kira 70 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia adalah salah satu indikator menunjukkan negara kini sedang hampir ke arah negara maju, maka kita tidak boleh sediakan peluang perniagaan berkos rendah. Hala tujunya juga adalah kepada perniagaan yang berkualiti.

Malaysia sebenarnya kehi­langan banyak peluang dalam industri ini kerana daripada 200,000 syarikat yang terlibat, hanya 8,000 syarikat yang memiliki sijil halal, kemanakah per­ginya syarikat-syarikat yang lain?,

Mereka sebenarnya sudah terkeluar daripada rantaian bekalan dalam industri yang bernilai tinggi itu. Jika mereka mahu me­nembusi pasaran global, syarikat tempatan itu perlu memiliki sijil halal yang diiktiraf daripada badan berwajib sebelum boleh mengeksport. Sehubungan itu, HDC akan libatkan mereka untuk pelan jangka pendek dan juga dalam tempoh panjang yang le­bih inklusif.

Adakah ini satu pembaharuan HDC seiring perkembangan ekonomi semasa?
Dahulu kami lebih menjurus kepada pelbagai program promosi sebagaimana yang diama­nahkan oleh kerajaan sebelum ini.

Selepas 14 tahun, kami telah me­laksanakan pelbagai usaha untuk mempromosikan industri halal di pasaran global dan ia turut di sokong oleh pelbagai pihak se­perti Matrade dan Jakim.

Saya yakin objektif tersebut sudah berjaya kerana sebelum ini, kita lihat hanya sebilangan kecil negara yang faham tentang ekonomi halal tetapi sekarang seluruh dunia tahu tentang industri halal.

Pujian patut diberikan kepada pihak pengurusan HDC sebelum ini yang berjaya menaikkan nama negara dalam industri halal, tapi bila sudah lama menjadi badan yang hanya mempromosikan (industri halal) ia kini dianggap sebagai cheer leader sahaja.

Tidak banyak syarikat berkembang dalam industri tersebut dan nilai eksport negara dalam industri halal adalah antara RM30 bi­lion hingga RM40 bilion sedang­kan pasaran di luar sana boleh mencecah sehingga AS$1.3 trilion (RM5.49 trilion).

Adakah Malaysia sudah mencapai misi menjadi hab halal di pasaran global?
Logo halal Malaysia sudah diterima oleh 84 badan pensijilan daripada 46 buah negara dan daripada kajian yang dijalan HDC, ini adalah satu jumlah yang besar.

Jika pengesahan logo halal ini boleh disamakan dengan pasport, maka logo halal ini telah diterima oleh 46 buah negara di seluruh dunia. Ini menunjukkan perkembangan industri halal Malaysia telah mencatat pencapaian yang membanggakan di pasaran global. HDC bersama Jakim akan terus menggiatkan usaha untuk menambahkan lagi bilangan negara.

Dari segi pasaran pula, liputan berhubung logo halal negara telah menguasai kira-kira 26 peratus di seluruh dunia. Berdasarkan angka tersebut, kuat saya katakan di sini bahawa Malaysia telah berada di hadapan dalam pembangunan industri halal.

Apakah negara persaingan terdekat Malaysia?
Kita tidak boleh menolak kemungkinan Indonesia yang kini semakin berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan tadbir urusnya dalam industri halal, lagipun mereka memiliki sumber ramuan halal yang banyak dari negara berkenaan.

Sehubungan itu, kami sedang dalam persiapan untuk menjalin usaha sama dengan negara jiran tersebut. Sekiranya dua negara ini be­kerjasama dengan mewujudkan satu kuasa dalam industri halal, ia akan menjadikan kita semakin berkuasa di pasaran dunia.

Kami bercadang untuk mengadakan forum dengan badan berwajib di negara itu untuk wujudkan kerjasama dalam bidang halal.

Melaluinya kita boleh melancarkan rangkaian perdagangan dan juga membangunkan kawasan perindustrian serta menggabungkan Malaysia dan Indonesia menjadi zon perdagangan bebas, maka pergerakan produk lebih pantas tanpa sebarang birokrasi. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI