Apakah hukum seseorang yang berpoligami tanpa keizinan isteri ataupun kadi. Mereka ini berkahwin di luar negara. Syarat kahwin mereka memang cukup, tapi isteri pertama tidak setuju dan keizinan kadi tempatan juga tidak diminta. Apakah sah perkahwinan mereka?
Jawapan:
Poligami adalah peruntukan yang berikan oleh syarak kepada lelaki.
Dengan peruntukan tersebut, lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang dan tidak melebihi empat orang.
Ia bukan satu kewajipan, tetapi satu keizinan syarak.
Adalah menjadi kewajipan bagi setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang diturunkan Allah S.W.T bukan untuk kepentingan zat-Nya yang agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada makhluk.
Segala apa yang diturunkan-Nya adalah li maslahah al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan hamba-hamba-Nya.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Inilah apa yang diraikan oleh syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudian ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):“Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”. (Al-Qaradawi, Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah, m.s 133-134. Mesir: Maktabah Wahbah)
Suami yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai suami ketika beristeri seorang sudah pasti lebih tidak mampu jika berlaku tambahan isteri.
Maka, suami seperti itu haram dia berpoligami kerana hanya akan membawa kepada kezaliman.
Keadilan merupakan syarat yang Allah letakkan atas bahu suami untuk adil antara isteri melainkan jika ada isteri yang menarik haknya seperti isteri Nabi s.a.w Saudah binti Zam’ah yang memberikan hak giliran harinya kepada ‘Aisyah. Riwayat Aisyah menyebut:
“Aku tidak dapati seorang wanita berkesungguhan yang paling aku suka menjadi sepertinya lebih daripada Saudah binti Zam’ah”. Apabila sudah tua, dia berikan giliran harinya bersama Rasulullah s.a.w untuk ‘Aisyah. Kata Saudah: “Wahai Rasulullah! Aku berikan giliranku bersamamu kepada ‘Aisyah”. Maka Rasulullah s.a.w menjadikan untuk ‘Aisyah dua hari; satu harinya sendiri dan satu lagi hari Saudah”. (Riwayat Muslim)
Sebenarnya, kecuaian dan kezaliman rumah tangga tidak berfaktor daripada poligami.
Kecuaian terhadap isteri berpunca dari sikap, bukan berpunca dari poligami.
Itulah sebab kita lihat ramai suami yang monogami tetapi tetap menzalimi isteri dan anak-anak. Jika dia berpoligami, keadaan lebih teruk. Haram lelaki zalim seperti itu berpoligami.
Adapun pandangan yang mensyaratkan keizinan isteri pertama atau kadi atau mahkamah syariah bagi sesiapa yang ingin berpoligami adalah sesuatu yang bersifat pentadbiran, tetapi bukanlah syarat sah perkahwinan.
Ertinya, dari segi syarak sah perkahwinan tersebut apabila cukup rukun nikah, sekalipun tanpa keizinan kadi.
Para ulama kontemporari ramai juga yang membantah meletakkan syarat poligami pada keizinan kadi.
Masalah keadilan suami adalah sesuatu yang tidak dapat dinilai sebelum perkahwinan berlaku.
Bagaimanakah mungkin seseorang kadi atau sesuatu pihak dapat mendakwa bahawa si pulan jika beristeri dua tidak akan adil?
Bagaimanakah pula seseorang dapat memutuskan si pulan yang lain jika beristeri dua adil? Bahkan ada orang yang disangka adil, tetapi ternyata sebaliknya.














