fbpx
Sultan Nazrin berkenan melancarkan buku itu di Karangkraf, Shah Alam, hari ini.

Realiti amalan rasuah pada skala membahayakan – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Amalan rasuah di Malaysia secara realiti sedang berlaku pada skala membahayakan berdasarkan teguran dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, aduan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelbagai agensi perlu dijadikan cermin atau petunjuk situasi rasuah.

“Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan rakyat akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Sifat responsif dan segera melakukan pembetulan bukan saja membendung salah laku tadbir urus malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Penilaian oleh Transparency International menunjukkan Malaysia kini di kelompok kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50,” titah baginda ketika berkenan melancarkan buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu di Karangkraf di sini, hari ini.

Buku dihasilkan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. M. Kamal Hassan itu sebagai sumbangan menyokong kempen memerangi rasuah yang digerakkan Rasuah Busters bermula sejak tahun lalu.

Titah Sultan Nazrin, rasuah ditakrifkan sebagai perbuatan salah guna kuasa untuk memberikan kelebihan kepada individu yang diamanahkan mentadbir urus sumber awam.

“Rasuah antara sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat mendapat perkhidmatan serta mendorong ketidakstabilan politik.

“Akibat rasuah, ada negara terbenam dalam kemelut kemunduran dan kemiskinan terus merebak.

“Apabila tiada kesungguhan membanterasnya, ia akan diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya sebelum memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda.

Justeru itu, baginda bertitah, negara yang dilanda mudarat akibat gejala rasuah memerlukan lebih ramai murabbi untuk tampil menggemakan mesej memeranginya secara lebih berani.

“Kita tidak boleh memandang ringan, leka dan memikirkan justifikasi dengan segala helah mahu menindakkan kewujudan gajah rasuah di depan mata.

“Penilaian keadaan rasuah itu wajib dilakukan secara jujur, ikhlas dan serius mahu membendung serta menghapuskannya.

“Para murabbi juga perlu menegaskan soal kepentingan ummah memiliki sifat-sifat ikhlas yang tidak akan dapat didampingi atau dipengaruhi oleh iblis, titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah perlu memiliki semangat kental seperti para pemuda Ashabul Kahfi yang gigih mempertahankan iman meskipun menghadapi pemerintah zalim. – KOSMO! ONLINE

POPULAR