fbpx
Pasukan bomba dan penyelamat menghentikan operasi pencarian cebisan dua rangka mangsa yang tertimbus di tapak kuari di Keramat Pulai. -Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Operasi SAR di tapak runtuhan batu kuari ditamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Selepas enam bulan operasi mencari dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini dijalankan, pasukan mencari dan menyelamat akhirnya menghentikan pencarian hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi tersebut ditamatkan berikutan penemuan rangka tulang dipercayai milik kedua-dua mangsa dan dua bangkai jengkaut sejak kelmarin.

“Operasi yang disambung hari ini berjaya membawa keluar rangka jengkaut yang dipercayai dikendalikan mangsa kedua dari timbunan batu di tempat kejadian.

“Pencarian di kawasan berhampiran juga menemukan tulang dan cebisan pakaian disyaki milik mangsa kedua.

“Kesemua penemuan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tujuan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi pengesahan identiti,” katanya di sini hari ini.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke HRPB untuk rawatan, manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR