fbpx
Penduduk Kampung Jerai berhimpun secara aman bagi membantah projek penyedutan pasir di Bukit Selambau, Sungai Petani semalam. – SHAHIR NOORDIN

Bingit jentera kuari ganggu hidup penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Sekumpulan penduduk di Kampung Jerai, Bukit Selambau, dekat sini sudah mula naik ‘bingung’ serta membantah projek menyedut pasir di kampung mereka kerana didakwa mengganggu ketenteraman serta menjejaskan kelestarian alam sekitar di kawasan tersebut sejak setahun lalu.

Wakil penduduk, Abd. Rais Lah Omar, 54, berkata, terdapat kira-kira 16 penduduk membabitkan lima buah rumah yang terletak berhampiran tapak projek kini terdedah dengan pelbagai masalah kesihatan ekoran debu tebal dari projek tersebut.

Katanya, mereka buntu selepas keselesaan dan kua­liti hidup di kawasan berdekatan juga terjejas kerana terpaksa berdepan dengan bunyi bising hampir setiap hari.

“Keselamatan dan kesihatan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar tapak projek terjejas terutama penduduk di Lot 321 dan 3164.

“Akibat daripada kerja-kerja menyedut pasir, ia menghasilkan lombong sangat luas dan dalam, jaraknya hanya 30 meter dari sempadan tanah (kediaman) berdekatan,” katanya ketika ditemui di tapak projek itu di Kampung Jerai, dekat sini kelmarin.

Ujarnya, pemilik tanah berhampiran tapak projek tersebut juga mengalami kerugian akibat daripada susut nilai tanah kesan aktiviti perlombongan pasir.

“Kami berharap bantahan ini menarik perhatian pihak berwajib untuk menjalankan siasatan lanjut dan menyeluruh dan kami juga berharap tiada lagi kelulusan menyedut pasir dikeluarkan selepas ini,” katanya.

Penduduk, Siti Ramlah Husin, 63, berkata, dia yang sejak lahir tinggal di kampung tersebut berasa tidak senang dan risau jika kawasan lombong pasir terhakis sehingga menghampiri ke kawasan rumahnya.

“Keadaan jadi bising. Mak saya dah tua mata tak nampak dan umur 84 tahun jadi tertekan sebab bunyi jentera tidak berhenti,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hadi Ahmad, 39, berkata, dia berasa tidak tenteram kerana bimbang kanak-kanak dari kampung tersebut bermain di kawasan lombong berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN