fbpx
Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Kralahom Sar Kheng.

Kemboja komited bantu mangsa sindiket penipuan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Isu jenayah rentas sempadan termasuk sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja telah dibincangkan pada Mesyuarat Plenari Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-16, semalam.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, mesyuarat yang berlangsung secara dalam talian itu turut disertai 10 negara ASEAN, negara rakan dialog ASEAN serta Sekretariat ASEAN.

Menurutnya, pada sesi mesyuarat itu, Ketua Delegasi Kemboja, Samdech Kralahom Sar Kheng yang juga Timbalan Perdana Menteri Kemboja memberikan maklum balas positif mengenai isu berkenan.

“Samdech menyatakan komitmen Kemboja untuk menyelamatkan mangsa serta bersama-sama dengan negara-negara yang terlibat bagi membanteras sindiket penipuan pekerjaan di negara mereka,” katanya.

Mesyuarat itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan pegawai kanan KDN.

Pada masa sama, KDN turut menyatakan komitmen untuk membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Menurutnya, KDN juga telah menubuhkan pasukan petugas khas di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan tindakan menangani isu sindiket berkenaan.

“Pasukan itu turut bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL), Polis ASEAN (ASEANAPOL) dan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti itu,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan kini sedang berusaha melalui semua saluran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran sindiket penipuan kerja.

Menurutnya, kerajaan prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara seperti Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja. – KOSMO! ONLINE

POPULAR