fbpx

Sharifah Sakinah tenang, gembira walaupun berjauhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAKINAH dan Hensen kini melalui fasa hubungan jarak jauh dan adakalanya berulang-alik KL-Sweden demi komitmen.

SHARIFAH Sakinah tidak pernah sepi daripada radar dunia hiburan tempatan. Jarang-jarang tentang naskhah lakonan, paling kerap diperkatakan pastinya berlegar isu peribadi yang tidak pernah dibiarkan sekadar berlalu daripada pandangan umum.

Kini, kehidupannya kembali meraih perhatian umum terutama selepas bergelar isteri kepada lelaki dari Sweden, Michael Hensen.

Rutin kehidupannya mungkin berbeza. Manakan tidak, kini dia berulang-alik antara dua negara Malaysia-Sweden bagi memenuhi peranan sebagai seorang isteri dan ibu.

Ikuti temu bual HibGlam bersama pemilik nama penuh Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired itu yang terbuka berkongsi perkembangan kehidupan dan pandangan mengenai ‘perangai’ netizen ketika ini.

KOSMO!: Kerap berulang-alik ke Sweden, ramai yang tertanya-tanya sama ada anda telah berhijrah ke sana atau tidak? Mungkin boleh beri sedikit pencerahan.
SAKINAH: Sebenarnya tidak berhijrah pun, hanya pergi sekejap dan patah balik. Selepas kahwin, kami memilih untuk berulang-alik Malaysia-Sweden.

Pada mulanya saya menetap selama empat bulan, kemudian bertukar menjadi sebulan dan kini sekitar dua minggu sahaja.
Bukan tak mahu menetap terus di sana tetapi anak sudah pandai bertanya bila saya nak balik Malaysia.

SHARIFAH SAKINAH tidak mahu memikirkan soal hendak menambah zuriat. – AMIR KHALID

Mengapa memilih dan sanggup untuk berpenat berulang-alik dua negara?
Sejujurnya memang sangat penat. Kos satu hal kemudian nak hadap ‘jetlag’ pula. Lagi sedih apabila saya berada di sana, dapat pula khabar orang meninggal dunia di sini.
Apa pun, beginilah rutin kehidupan kami, tak tahu sampai bila. Semuanya kerana anak-anak. Mungkin sehingga semua sudah masuk universiti dan barulah kami boleh sebumbung.

Bagaimana dengan perancangan membawa anak anda, Anais Adha untuk menetap di Sweden?
Perkara itu sama sekali tidak akan saya lakukan sebab dia satu-satunya anak perempuan bekas suami.
Malah, Anais sahaja cucu perempuan keluarga bekas suami. Jika saya ambil, memang biadablah.

Boleh kongsikan antara aktiviti yang dilakukan sepanjang berada di negara orang?
Di sana, saya sangat tenang, ada juga ke sesi terapi untuk penyakit Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) yang saya hidapi.
Selain itu, saya juga kurang ‘bermain’ media sosial sebab ada masa yang banyak untuk lakukan pelbagai aktiviti.

Apabila sudah berkahwin, pasti akan ada pertanyaan tentang zuriat. Adakah anda mempunyai perancangan ke arah itu?
Ramai yang bertanya. Jawapannya, jika hamil, saya seorang wanita yang ‘clingy’. Saya mahu suami berada di samping setiap masa, kedengaran agak pentingkan diri tetapi itulah saya.

Saya mahu anak dan suami tetapi kedua-duanya tidak boleh dimiliki dalam satu masa. Agak sedih. Jadi, saya membuat keputusan menyimpan hasrat untuk hamil setakat ini. Lagi pun, umurnya sudah 40-an.
Bagi saya, jika tak dapat dua-dua (suami dan anak), tak payah nak menyeksa diri dan emosi. Keluarga suami pun tak pernah bertanya tentang zuriat, tidak seperti budaya di sini.

Sebagai isteri yang melalui fasa hubungan jarak jauh, mungkin ada tip yang boleh dikongsi untuk pasangan lain?
Kepercayaan dan ketenangan dalam diri. Semuanya berbalik kepada diri sendiri, jangan terlalu mengharapkan pasangan untuk mula melakukan semua perkara.

Kena faham tanggungjawab sendiri dan saling memahami. Jika berjaya, ketenangan dalam perhubungan akan hadir dengan sendiri.
Jangan habiskan tenaga bergaduh atau mencetuskan perbalahan. Berseronok sahaja dengan waktu sekarang dan usah terlalu memikirkan tentang masa depan atau kisah lalu.

Kini, kehidupan saya tenang dan gembira walaupun kami berjauhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI