fbpx

Mahkamah: Ketua pegawai pentadbiran didenda RM56,000 guna dokumen palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan ketua pegawai pentadbiran syarikat Famox Plantation (M) Sdn Bhd membayar denda RM56,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen penyata akaun dan pembayaran baucer palsu pada Julai tahun lalu.

Tertuduh, J. Jayasri Nair, 30, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 32 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan sebagai tulen dokumen penyata akaun Agro Bank Berhad atas nama syarikat Famox Plantation bertarikh 21 April 2021 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Manakala pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan sebagai tulen dokumen pembayaran baucer masing-masing berjumlah RM6,400 bertarikh 3 Januari 2021 dan 23 Mei 2021 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu.

Dia dituduh berbuat demikian di Pejabat Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Kementerian Perpaduan Negara, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada 28 Julai 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Muhammad Asraf Mohd Tahir.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan pertama atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM18,000, jika gagal bayar penjara 10 bulan bagi setiap pertuduhan. Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI