fbpx

Mahkamah: Ada penghuni lain nampak Bella didera selain Yasmin – saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. FOTO AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Rakan kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd. Razali hari ini berkata bukan hanya seorang sahaja penghuni rumah bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood melihat remaja perempuan Sindrom Down Bella didera oleh Siti Bainun.

Sebaliknya, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, itu memberitahu terdapat tiga lagi penghuni lain melihat kejadian tersebut yang berlaku di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada tahun lalu.

Zurianty yang merupakan saksi pendakwaan pertama berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mana beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu apabila mengatakan hanya Yasmin melihat Siti Bainun mendera Bella.

Mohammad Farhan: Selain daripada Yasmin (penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood), dalam pengetahuan puan tiada seorang pun pernah nampak dengan mata sendiri Bainun dera Bella?
Zurianty: Tidak setuju.

Mohammad Farhan: Puan tahu wujudnya individu selain Yasmin memang nampak Bainun dera Bella?
Zurianty: Ya, selepas saya buat laporan.

Mohammad Farhan: Maklumkan kepada mahkamah individu-individu tersebut.
Zurianty: Individu-individu yang tinggal dalam rumah tersebut (kondomininium Wangsa Maju) ialah Eyna, Aida dan Balqis…mereka yang tinggal bersama Siti Bainun dan Bella sepanjang tempoh itu.

Sebelum ini dalam prosiding terdahulu Yasmin Nahar, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima memberitahu mahkamah sama bahawa Bella didera Siti Bainun dan kejadian itu sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.(sehingga saksi pendakwaan pertama menemui Bella).

Sementara itu, dalam prosiding sama Zurianty turut terkejut apabila video kecederaan Bella ditularkan oleh seorang aktivis wanita di dalam Facebook miliknya.

Zurianty berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh seorang lagi peguam Nurul Hafidzah Hassan.

Ketika ditanya peguam Nurul Hafidzah adakah saksi itu bersetuju dan terkejut video Bella diviralkan oleh Mona Din, saksi itu menjawab setuju.

Dalam pada itu, Zurianty turut bersetuju dengan cadangan peguam, bahawa saksi itu tidak menyokong tindakan aktivis wanita tersebut menularkan kes Siti Bainun ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bersambung lagi esok.

Siti Bainun Ahd Razali , 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI