fbpx

Banjir: 141 kawasan ‘hotspot’ di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamal Mokhtar (kanan) melihat anggotanya menekan siren kecemasan ketika menguji Lari Siren Awam APM di Pejabat Daerah Pertahanan Awam, Johor Bahru. FOTO RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor telah mengenal pasti sebanyak 141 kawasan titik panas berlaku kejadian banjir di seluruh negeri ini.

Pengarah APM Johor, Penolong Pesuruhjaya Kamal Mokhtar berkata, kolektif data mengenai kawasan yang dikesan kerap berlaku banjir kilat dan banjir besar itu diperolehi sejak lima tahun yang lalu.

Beliau berkata, kesemua 10 daerah di negeri ini termasuk Segamat, Pontian dan Tangkak berisiko berlaku banjir pada Monsun Timur Laut yang diramal berlaku bermula November ini hingga Mac depan.

“Sehubungan itu, kita telah bersedia dengan kekuatan 1,000 anggota untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi apa jua bencana yang berlaku di peringkat negeri ini.

“Dari segi keanggotaan dan logistik, itu sudah mencukupi kerana bukan APM sahaja yang di digembleng ketika Monsun Timur Laut sebaliknya diperkuatkan dengan pelbagai agensi terlibat.

“Jadi, tidak timbul isu tidak cukup keanggotaan serta kelengkapan logistik kerana boleh memohon daripada agensi yang lain bagi melengkapkan kekuatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas uji lari sistem awam (PWS) APM di Pejabat APM Daerah Johor Bahru, di sini hari ini.

Kamal berkata, kerajaan Negeri telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bagi membincangkan mengenai persediaan setiap agensi di ketika Monsun Timur Laut bagi tahun ini dan tahun hadapan.

Katanya, bagi APM sendiri, kita telah melaksanakan beberapa langkah proaktif ataupun langkah awal untuk kita bersiap siaga dalam apa jua bencana yang berlaku di negeri Johor.

“Johor mengalami cuaca yang agak lembap dan berlaku beberapa banjir kilat di setiap daerah sepanjang tahun ini. Susulan itu, kita sudah bersiap siaga daripada awal tahun sehingga akhir tahun ini.

“Kita telah pun melaksanakan banyak jenis latihan di peringkat negeri sebagai persediaan menghadapi banjir di negeri ini yang dijangka bermula daripada Disember sehingga bulan Februari depan,” katanya.

Katanya, APM juga akan menggunakan siren PWS jenis elektrik di Pejabat APM Daerah Johor Bahru bagi memberi amaran mengenai ancaman bencana, kecemasan dan ketenteraman.

Tambahnya, ia juga berfungsi sebagai medium untuk melatih dan mendidik orang awam bagi mengambil tindakan sewajarnya dalam situasi memerlukan selain membuat pengumuman dan pemberitahuan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI