fbpx
Jason Ren Jie, 30, sesat ketika mendaki Hutan Simpan Panti Timur semalam.

Lelaki warga Singapura sesat ketika mendaki bersama rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI –  Seorang lelaki warga Singapura dikhuatiri tersesat ketika mendaki bersama seorang rakannya di Hutan Simpan Panti Timur semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa dikenali sebagai Jason Ren Jie, 30, yang berasal dari China memulakan pendakian kira-kira pukul 11.30 pagi.

Katanya, mereka kemudian terputus hubungan kira-kira pukul 1 tengah hari sebelum rakannya merupakan warga negara Malaysia membuat laporan polis.

“Rakan mangsa telah datang ke Balai Polis Batu Ampat kira-kira pukul 3.26 petang memaklumkan telah terputus hubungan dengan mangsa yang dipercayai tersesat semasa melakukan aktiviti pendakian itu.

“Rakannya memaklumkan mereka berpisah di satu lokasi ketika mendaki di mana pengadu berjalan dahulu, manakala mangsa menunggu di belakang.

“Tetapi, selepas 30 minit menanti, mangsa tidak muncul-muncul. Pengadu kemudiannya cuba mencari semula mangsa, tetapi tidak berjumpa mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai kanan dan anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian mangsa yang dilaporkan sesat.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat turut dibantu oleh Balai Bomba Kota Tinggi serta Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan.

“Sehingga pukul 11.30 malam, mangsa masih belum dijumpai. Operasi mencari dan menyelamat dihentikan seketika kerana keadaan persekitaran terlalu gelap dan menyukarkan pencarian. Operasi juga telah disambung semula pada pagi ini.

“Polis Daerah Kota Tinggi menasihati orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan hutan simpan agar mendapatkan permit terlebih dahulu dari Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi.

“Maklumkan aktiviti pendakian kepada balai polis yang terdekatan bagi mengelak kejadian sebegini berulang di kemudian hari,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

POPULAR