fbpx

Polis buru tiga suspek kes gaduh tular di kedai makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar pergaduhan membabitkan empat individu di sebuah kedai makan di Bandar Baru Menglembu, Ipoh semalam.

IPOH – Polis sedang mengesan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Bandar Baru Menglembu di sini semalam.

Video berdurasi 10 saat dan beberapa gambar insiden tersebut tular di media sosial, memaparkan empat individu bergaduh menggunakan kerusi plastik dan senjata dipercayai kayu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 6.22 petang berhampiran sebuah kedai makan di Bandar Baru Menglembu.

Katanya, dalam kejadian itu, seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun cedera di kepala dan tangan.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian bermula apabila mangsa dipercayai mengganggu tiga suspek yang sedang makan di kedai berkenaan.

“Tindakan mangsa telah menimbulkan kemarahan kesemua suspek hingga menyebabkan berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang cedera ringan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, usaha sedang dilakukan bagi mengesan kesemua suspek warga tempatan berusia antara 20 ke 30 tahun itu.

“Serbuan dijalankan di rumah suspek namun mereka tiada di rumah. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Amy Crystal Anak Barahen Tahir di talian 014-3909719,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI