fbpx

APMM rampas 60 set bubu naga di Kuala Kurau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara bubu naga yang dirampas APMM di Kuala Kurau semalam.

KUALA KURAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau merampas 60 set bubu naga di kedudukan 2 hingga 4 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau kira-kira pukul 8.15 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kuala Kurau, pasukan bot peronda APMM telah mengesan beberapa pelampung yang mencurigakan dan disyaki penanda kepada bubu naga.

“Hasil pemeriksaan ke atas pelampung menemukan 60 set bubu naga di empat lokasi berasingan yang mana kedudukannya lebih kurang 2 hingga 4 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau.

“Kesemua bubu naga dan penanda telah dirampas serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggaran nilai rampasan bubu naga pada kali ini adalah berjumlah RM4,200 dengan nilai RM70 setiap satu set.

Mohd. Najhan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan yang tidak dilesenkan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“APMM mengingatkan kepada semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kelestarian ekosistem perairan Malaysia,” katanya.

Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada APMM di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di 05-7279919. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI