fbpx

Pulau Pinang tarik balik gelaran Datuk Seri Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

GEORGE TOWN – Keahlian Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penyandang Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa hari ini.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria, Najib telah dikurniakan keahlian D.U.P.N. yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada tahun 2009.

”Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau atas beberapa pertuduhan.

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang D.U.P.N. yang membawa gelaran Datuk Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa pada 15 September ini (hari ini),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 1992 dan 2004, berkuat kuasa 12 September lalu.

Untuk rekod, Najib mempunyai sembilan darjah kebesaran dari Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mengulas lanjut, Mohd. Zakuan berkata, pembatalan dan pemansuhan keahlian Najib adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.

Tambahnya, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak juga bersetuju untuk kerajaan negeri Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan berkaitan pembatalan keahlian Najib itu. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN